fbpx

Gagal beri komisen, bekas pekerja serang majikan guna keris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Senjata yang digunakan suspek untuk menyerang pekerja dan majikan lamanya di sebuah syarikat jualan kereta, di Jalan Semenyih, Kawasan Perusahaan Beranang, Kajang, Sabtu lalu.

KAJANG – Seorang bekas penjual kereta ditahan selepas mengugut dan mencederakan majikannya akibat tidak menerima wang komisen yang dijanjikan sebelum ini, dalam kejadian di sebuah syarikat jualan kereta di Kawasan Perusahaan Beranang, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, satu laporan polis diterima pihak Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kajang daripada seorang pekerja syarikat tersebut sekitar pukul 10.15 pagi, hari kejadian.

Katanya, wanita berusia 29 tahun itu menyatakan telah didatangi seorang lelaki tempatan yang juga bekas pekerja di tempat jualan kereta itu sambil mengacukan sebilah keris kecil kepadanya.

“Suspek minta mangsa serta seorang lagi pekerja lelaki untuk dijadikan tebusan dan mahu membawanya pergi ke lokasi yang tidak diketahui.

“Ekoran kejadian itu, majikan mangsa telah cuba merampas senjata yang dipegang suspek dan telah berlaku pergelutan.

“Pergelutan itu mengakibatkan majikan mangsa mengalami kecederaan luka di tangan akibat terkena pisau tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Zaid, suspek yang berumur 39 tahun berjaya ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis dan pemeriksaan mendapati, suspek memiliki dadah jenis erimin 5 dan ujian air kencing positif dadah yang sama.

Jelas Zaid, punca kejadian ialah disebabkan suspek tidak diberi wang komisen yang telah dijanjikan majikannya sebelum itu.

“Suspek kemudian telah ditahan reman selama empat hari sehingga Rabu ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan akan dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya kerana memiliki dadah jenis erimin 5.

“Suspek akan dituduh esok pada pukul 9 pagi di Mahkamah Majistret Bangi,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Sarjan Ahmad Faizal Hasan di talian 019-7691924 bagi membantu siasatan.- KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI