fbpx

TNB, Sunway meterai MoU teroka peluang kerjasama dalam ESG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Baharin (tiga dari kiri) dan Jeffrey Cheah (tiga dari kanan) menunjukkan dokumen MoU di Kuala Lumpur.

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kumpulan Sunway (Sunway) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk memacu bersama agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan mewujudkan nilai perniagaan yang mampan.

Ia juga bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama dalam mempromosikan penyelesaian peralihan tenaga, mempercepatkan bisnes tenaga bersih serta membangunkan keupayaan ESG.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pemeteraian usaha sama itu juga inisiatif penting kepada Kumpulan untuk mempromosikan penyelesaian tenaga mampan di negara ini ke arah mencapai matlamat ESG.

“Kami bersama-sama boleh mencipta masa depan lebih mampan untuk masyarakat dan membantu mengurangkan jejak karbon demi mewujudkan masa depan lebih baik untuk semua.

“Di TNB, kami komited untuk memacu Peralihan Tenaga negara melalui aspirasi pelepasan sifar bersih dan menyokong Malaysia mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Selain itu, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah menjelaskan,  perkongsian ini mengukuhkan komitmen bersama Kumpulan ke arah peralihan tenaga bersih dan ekonomi neutral karbon. 

“Selepas memperkenalkan rangka kerja penetapan karbon untuk merangsang usaha penyahkarbonan dalam Kumpulan tahun lalu, kami berikrar untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, melalui langkah seterusnya dengan pelancaran program pajakan hijau untuk menangani pelepasan Skop 3 pada tahun ini,” ujarnya.

Di bawah MoU itu, kedua-dua TNB dan Sunway juga akan bekerjasama untuk membangunkan inisiatif bersama dan meneroka peluang baharu dalam skop penyelesaian peralihan tenaga, perniagaan tenaga bersih dan keupayaan ESG.  -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI