fbpx

Kami dah berbaik, tak kisah duduk semeja – Fyna Jebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FYNA JEBAT terbuka bercerita tentang hubungan baiknya dengan madu ketika ini.

BANGI – Ibaratnya tiada lagi sengketa tarik rambut, bahkan penyanyi Fyna Jebat mengakui hubungan baiknya bersama madu, Datin Zalina Zaini kini berada pada tahap harmoni.

Isteri kedua bekas jurulatih bola sepak terkenal, Datuk Zainal Abidin itu mendakwa mereka tiada masalah untuk duduk semeja, namun buat masa belum berpeluang untuk melalukan aktiviti bersama lantaran kesibukan jadual kerjaya.

“Saya tidak kisah jika hendak duduk semeja atau makan bersama-sama (dengan madu) tetapi kekangan kerja serta sekarang saya terikat dengan tuntutan jadual yang padat.

“Cuma di pihak dia, saya tidak berani untuk memberi sebarang komen. Bagi saya cukuplah terus doakan kami,” katanya.

Belajar daripada kesilapan, Fyna juga akan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan mahu pun membuat perkongsian dalam media sosial bagi menjaga kerukunan hubungan dengan madunya.

Katanya, mereka sudah berdamai selepas masing-masing menarik balik laporan polis berhubung kes pergaduhan di sebuah restoran yang tukar pada Januari lalu.

“Alhamdulillah, apa yang boleh saya katakan kami telah berbaik. Selepas ini orang ramai tidak akan nampak lagi insiden seperti tempoh hari.

“Saya pun selepas ini akan lebih beringat dalam sebarang tindakan dan percakapan, kiranya banyak kena belajar lagi.

“Terima kasih, saya tahu ramai yang mahu tengok kami bahagia. Jadi teruskanlah doakan kami,” katanya kepada Kosmo! Online.

Fyna yang juga adik kepada penyanyi Ayda Jebat itu ditemui pada majlis pelancaran produk AEDOS Serum keluaran Elegant Cosmetics di sebuah hotel di Bangi, malam tadi.

Pada masa sama pemilik nama sebenar Nur Syafinaz Jebat itu turut mendedahkan suami banyak memainkan peranan penting ke arah kesejahteraan keluarga.

Dari segi tanggungjawab sememangnya Zainal berlaku adil selain kerap menitipkan nasihat dalam menjaga kerukunan rumah tangga mereka.

“Pendapat dia tiada apa, tapi dia banyak bagi nasihat apa yang boleh, apa yang tak patut. You (awak) kena macam ni. Saya pun okey saja. Dia pun adil,” ulasnya lagi.

Ditanya pula mengenai tindakan bergurau mengikut ‘trend’ filter dalam telefon bimbit yang melabelkannya sebagai ‘penyondol’ pada dahi, adik kepada Ayda Jebat itu menegaskan itu sekadar permainan.

“Itu cuma permainan filter saja, tiada apa-apa yang serius. Saya cuma main filter itu dengan kawan secara spontan.

“Kalau orang nak komen dan bercakap mengenainya terpulanglah. Saya pun jenis tak tengok komen,” ulasnya lagi yang turut ditemani suami hadir ke majlis makan malam syarikat itu.

Terdahulu, kecoh di laman maya apabila Zalina berang yang didakwa berikutan sindiran Fyna dalam sebuah program realiti sehingga mencetuskan insiden tarik rambut di sebuah restoran di Shah Alam sekitar awal tahun ini.

Bagaimanapun, kemelut berkenaan akhirnya terlerai apabila laporan polis yang dibuat telah ditarik balik selepas kedua-duanya mengambil keputusan enggan memanjangkan isu.

Sebelum itu, Fyna membuat pengakuan telah berkahwin dengan Zainal selepas beberapa minggu gosip membabitkan pernikahan itu hangat diperkatakan ramai. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI