MENITI usia 50 tahun, aktres yang belum bersisa aura ‘Perempuan Melayu Terakhir’, Vanidah Imran tetap relevan di mata ramai.
Keayuannya belum pudar, masih sarat membawa sarat membawa pesona zaman populariti sedang melonjak.
Wajahnya kelihatan bertambah jelita apabila tampil dengan imej berhijab ketika hadir di majlis tayangan perdana filem Imam, baru-baru ini.
Seakan-akan dapat mengagak soalan yang bakal ditanyakan media, bekas pemenang tempat kedua pertandingan Miss World Malaysia 1993 itu mengakui belum berhijab seperti yang diandaikan ramai pihak.
Akuinya, dia belum bersedia untuk berhijab kerana bimbang hatinya akan meronta-ronta selepas mengambil keputusan untuk menutup aurat.
Namun, wanita berdarah kacukan India Muslim dan Jawa itu tahu tentang kewajipan sebagai seorang wanita Muslim untuk menutup aurat dan akan ke arah itu (berhijab) apabila tiba waktunya nanti.
“Untuk saya berhijrah (menutup aurat), saya perlu betul-betul yakin. Saya tahu itu merupakan satu tuntutan dan wajib bagi wanita Muslim untuk menutup aurat.
“Tapi saya tidak mahu nanti kalau saya pakai (berhijab), tapi jiwa saya meronta.
“Itu tiada makna apa-apa. Jadi beri saya belajar dahulu dan mengikut proses sehingga saya benar-benar bersedia untuk berhijrah,” katanya.

Belajar
Vanidah atau nama sebenarnya Vanida Imran itu percaya dengan aturan Allah SWT dan akan menutup aurat sepenuhnya apabila sudah benar-benar bersedia kelak.
Kongsi pelakon yang mesra disapa Vee itu, dia bimbang hatinya akan berbolak-balik selepas melihat beberapa rakan sekeliling yang kembali berubah selepas mengenakan hijab.
“Saya takut terjadi pada saya. Sebelum jatuh fitnah, beri saya berubah perlahan-lahan. Sekarang apa yang saya mahu lakukan adalah cuba untuk kuatkan jiwa saya dahulu. Beri saya waktu untuk belajar apa yang saya tidak pasti,” katanya.
Dalam pada itu, Vanidah juga diberitahu rakan-rakannya yang sudah kembali kepada fitrah banyak berkongsi perasaan apabila berhijab dalam keadaan hati yang sudah bersedia.
“Ramai sahabat saya yang sudah berhijrah cakap, kalau sudah sampai masa nanti, setiap kali pakai hijab saya tidak akan fikir apa-apa (ikhlas).
“Tapi bila pakai, kemudian hati rasa tidak pasti, ada perasaan mahu buka semula hijab, apa maksudnya? Nanti akan buat hati saya saya tidak tenang. Banyak lagi perkara yang perlu saya belajar. Begitu juga hukumnya,” katanya.

Tumpang bahagia
Sepanjang meniti karier sebagai anak seni selama lebih 30 tahun, Vanidah sangat berhati-hati dalam menjaga imejnya daripada terpalit cerita tidak enak.
Empunya diri boleh dikatakan bebas kontroversi sehingga boleh mencalarkan namanya sebagai seorang anak seni.
Cuma pada 2018, tiada angin, tiada ribut, Vanidah mengesahkan dirinya telah pun berpisah dengan bekas suami yang juga pelakon, Rashidi Ishak selepas 18 tahun melayari bahtera alam rumah tangga bersama.
Perceraian secara baik itu sempat menjadi heboh memandangkan Vanidah dan Rashidi boleh dianggap sebagai pasangan romantis.
Hari ini, kedua-duanya telah pun menjalani kehidupan baharu apabila dipertemukan jodoh buat kali kedua dengan pasangan masing-masing.
Vanidah sendiri sekali lagi telah bergelar isteri kepada seorang jurutera, Arifabillah Idris pada Julai 2022.
Manakala, Rashidi pula bertemu jodoh buat kali kedua dengan pengarah drama, Wan Hasliza Wan Zainuddin.

Gembira Rashidi tak lagi menduda
Sebagai bekas isteri yang pernah melalui susah senang, Vanidah mengakui gembira saat mengetahui perkahwinan dudanya dengan Wan Hasliza pada Februari lalu yang disifatkan sebagai kenalan baik.
“Saya dan anak-anak menyambut baik perkahwinan mereka dan menyenangi keperibadian Hasliza. Saya sudah mengenali Liza (Hasliza) dan pernah berlakon bawah arahannya menerusi filem Kalla: Hidup Atau Mati.
“Liza individu yang baik dan saya sangat gembira kerana Rashidi memperisterikan dia. Sebenarnya, saya sudah lama tahu tentang hubungan mereka. Apabila dimaklumkan tentang perkara itu, saya gembira, kerana saya tahu anak perempuan saya pasti akan menyukai dia,” kata Vanidah.
Kata pemenang Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia 2007 itu lagi, kematangan yang dimiliki Hasliza menjadikan wanita tersebut sebagai calon yang paling tepat untuk menjadi isteri kepada Rashidi.
“Hasliza seorang yang berpendidikan, bijak dan menyenangkan. Saya lega kerana Rashidi memilih dia sebagai isteri.
“Dia seorang yang matang dan saya yakin kelebihan itu membolehkan dia untuk mengendalikan hidup berumah tangga dengan baik.
“Apa pun, kami sangat okey dengan perkahwinan mereka,” kata ibu kepada dua orang anak itu.















