fbpx

Selhac 2023 capai sasaran peniagaan, penyertaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) melancarkan Selhac 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 yang berlangsung selama tiga hari pada 10 hingga 12 Mac lalu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur telah berjaya mengatasi sasaran awal yang ditetapkan.

Sejumlah RM55.7 juta transaksi berjaya dicapai menerusi sesi padanan perniagaan yang disertai hampir 100 penyertaan dari luar negara seperti United Kingdom, Kanada, Australia dan Thailand berbanding sasaran RM50 juta sebelum ini, manakala jualan di pameran berjumlah hampir RM100,000.

Lebih 200 pempamer dan hampir 8,000 pengunjung berkumpul pada Selhac 2023 yang merupakan satu komponen pen­ting dalam perancangan untuk melonjakkan industri halal sebagai salah satu daripada sembilan sektor fokus bagi mengukuhkan ekonomi Selangor.

SELHAC 2023 dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor dan diurus oleh HIS (Halal International Selangor) Toyyiba Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, pihaknya berusaha membina komuniti halal yang lebih kukuh dan makmur.

“Kita telah berkongsi nilai, tradisi dan memperkuatkan komitmen kepada prinsip persahabatan, integriti dan kebolehpercayaan untuk membina komuniti halal yang bersepadu.

“Nilai ini wajar dipelihara, dikekalkan dan dimantapkan dari semasa ke semasa.

“Terdapat banyak pencapaian yang tidak dapat dinilai sepanjang penganjuran Selhac 2023. Di samping peluang perniagaan dan hubungan yang dicapai, konvensyen ini juga meraikan kekayaan dan kepelbagaian sektor halal di negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Pasaran halal global yang diunjurkan akan mencecah nilai AS$2.8 trilion (RM12.62 trilion) menjelang 2025.

Selain pameran dan padanan perniagaan, antara aktiviti lain yang dilaksanakan pada Selhac 2023 ialah Seminar Kewangan Islam & Logistik Halal, Forum Rantaian Bekalan dan Penembusan Pasaran serta Persidangan Eksekutif Halal yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI