fbpx

Kakak berkorban derma buah pinggang kepada adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nabilla bersama adiknya, Nadzrin ketika menunggu giliran memasuki dewan pembedahan

PETALING JAYA – Seorang kakak sanggup berkorban dengan mendermakan sebelah buah pinggangnya kepada adik lelakinya yang menghadapi masalah kegagalan organ itu menerusi pembedahan di Hospital Selayang semalam.

Nabilla Ramli, 33, berkata, dia tidak sanggup melihat penderitaan yang ditanggung adiknya, Nadzrin Amril Ramli, 30, sejak tiga tahun lalu.

Katanya, sebagai kakak yang mempunyai seorang adik, dia mengambil risiko dibedah bagi memastikan Nadzrin kembali sembuh dan walaupun terpaksa bertahan dengan sebelah buah pinggang.

“Adik saya menghidap penyakit buah pinggang semasa berusia 27 tahun. Semasa itu dia mengalami simptom pening kepala, jantung berdebar, kencing berbuih dan serangan darah tinggi.

“Dua buah pinggangnya gagal berfungsi.  Bila fikirkan kami dua beradik sahaja, kalau saya tidak tolong, siapa lagi nak tolong. Dia satu-satunya adik yang saya ada.

“Saya halalkan buah pinggang kanan demi melihat adik kembali sihat. Saya tak nak tengok dia menjalani dialisis lagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Terdahulu, kisah ibu tiga anak itu menjadi tular di media sosial apabila orang ramai kagum melihat pengorbanan seorang kakak dalam memastikan adiknya terus sihat seperti dikongsikan di Facebook Persatuan Sokongan Transplan Buah Pinggan Malaysia pagi tadi.

Bercerita lanjut, Nabilla memaklumkan, pada awalnya, ibunya, Fazliyatum Abu Samah, 56, turut menawarkan diri bagi mendermakan sebelah buah pinggangnya kepada anak bongsunya.

“Ibu mahu dermakan, tetapi saya tak bagi sebab dia sudah berusia bimbang tidak larat nanti,” ujarnya.

Katanya lagi, dia menunggu hampir tiga tahun untuk menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang kepada adiknya itu.

“Selepas adik disahkan mengalami masalah buah pinggang tiga tahun lalu di Hospital Serdang, saya ambil keputusan untuk dermakan buah pinggang saya untuknya.

“Ambil masa setahun buat saringan di Hospital Serdang dari November 2021 hingga November 2022, tapi disebabkan ada masalah air kencing tidak cantik, 17 kali saya gagal selepas buat saringan dan alhamdulillah kali ke-18 baru lepas.

“Awal tahun ini, baru kami dapat tarikh pembedahan. Sepatutnya pada 9 Mac lalu, tapi ditunda sebab nadi saya dan adik tinggi masa dalam bilik pembedahan,” kongsinya.

Bagaimanapun, hari ini keadaan Nabilla dan Nadzrin semakin sihat dan mampu melakukan pergerakan sendiri.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI