fbpx

Zakat fitrah: Perak tetapkan tiga pilihan harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Kadar zakat fitrah di Perak pada tahun ini ditetapkan dengan tiga pilihan harga iaitu RM7, RM14 dan RM21.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, penetapan harga itu ditetapkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada 6 hingga 8 Disember 2022.

Beliau berkata, harga minima yang perlu dibayar oleh setiap individu yang berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah adalah sebanyak RM7.

“Digalakkan bagi yang menggunakan beras wangi atau yang seumpama atau setara sebanyak RM14 dan bagi yang menggunakan beras basmathi atau yang seumpama atau setara sebanyak RM21,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bayaran boleh dilakukan menerusi amil zakat di kaunter-kaunter sama ada di masjid, surau, lokasi tumpuan orang ramai.

“Ia termasuklah kompleks membeli-belah, pasar terbuka, stesen minyak dan premis perniagaan serta pejabat kerajaan atau swasta terpilih,” katanya.

Shahrul Azam berkata, pembayaran zakat fitrah juga boleh dilaksanakan menerusi amil lantikan kariah masjid yang bergerak dari rumah ke rumah.

Jelasnya, ia bagi memudahkan ahli kariah melaksanakan ibadah zakat terutamanya warga tua.

“Bayaran zakat fitrah boleh dibuat melalui pilihan medium bayaran FPX MAIPk dengan melayari https://ezakat.maiamp.gov.my/, aplikasi GoPayz, Shopee, Maybank2u, SnapNPay dan di laman https://senangzakat.my/?id=MAIPK.

“Penyata bayaran zakat fitrah bagi medium bayaran FPX MAIPk https://ezakat.maiamp.gov.my/ boleh dimuat turun terus daripada sistem FPX MAIPk.

“Bagi medium bayaran selain FPX MAIPk, penyata bayaran zakat fitrah boleh diperolehi selepas tiga hari transaksi dibuat,” katanya.

Tambahnya, pembayar perlu mendaftar terlebih dahulu dan log masuk ke dalam sistem portal penyata zakat
MAIPk di https://online.maiamp.gov.my/zakatperak/, untuk memuat turun penyata bayaran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI