SELEPAS 40 tahun membina nama di Hollywood dan Hong Kong, aktres kelahiran Ipoh kebanggaan Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh akhirnya berada di puncak tertinggi kerjayanya apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi atau Oscar ke-95.
KEJAYAAN Michelle boleh dijadikan inspirasi buat anak seni tempatan lain untuk berani keluar dari zon selesa dengan mencuba nasib di persada dunia.
ACARA berprestij dunia, Academy Awards ke-95 melabuhkan tirai gelanggangnya dengan menyaksikan lebih banyak kemenangan bersifat lebih inklusif.
Kalau dahulu, acara tersebut didominasi orang kulit putih atau mat salih, sekarang tidak lagi apabila audiens dapat melihat lebih banyak ‘tembok’ dipecahkan. Selayaknya itu berlaku kerana people of colour (bukan orang putih) ramai yang telah meletakkan usaha luar biasa, namun tidak ditemukan ruang pengiktirafan.
Setinggi-tinggi tahniah buat srikandi seni negara, Tan Sri Michelle Yeoh yang mencatat sejarah luar biasa menerusi filem Everything Everywhere All at Once.
Buat perdana kali dalam sejarah, anak kelahiran Malaysia merangkul trofi Oscar. Bukan itu sahaja, Michelle juga menjadi pelakon pertama Asia yang dinamakan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di pentas tersebut.
Everything Everywhere All at Once yang menyaksikan beliau memukau dunia dengan permainan watak Evelyn Wang turut membawa pulang enam trofi utama lain termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.
Empat pemenang kategori lakonan. Dari kiri: Ke Huy Quan (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik), Michelle Yeoh (Pelakon Wanita Terbaik), Brendon (Pelakon Lelaki Terbaik) dan Jamie Lee Curtis (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik).
Saya kung fu, pecahkan ‘tembok’ – Michelle
Dalam kategori lakonan, filem arahan sutradara Daniel Kwan dan Daniel Scheinert berkenaan mendominasi kemenangan apabila tiga daripada kategori digondol pemain karya terbabit. Selain Michelle, Ke Huy Quan membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Jamie Lee Curtis).
Brendan Fraser yang memainkan karakter lelaki obes bernama Charlie dalam filem The Whale dinamakan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik. Dedikasi dan semestinya, banyak pengorbanan dilakukan semua terlibat sebelum meniti pentas gemilang. Masih basah dalam fikiran lakonan Michelle dalam Crouching Tiger, Hidden Dragon. Kekal ligat bermain di minda persembahan dipaparkan Brendan dalam francais filem The Mummy.
“Dah lama bekerja keras dan kali ini, kita berjaya pecahkan ‘tembok’. Saya ‘kung fu’ dan memecahkan tembok yang selama ini menghalang.
“Ramai antara kita yang merasakan diri tidak dilihat atau didengari. Kemenangan ini adalah untuk komuniti Asia, namun bukan itu sahaja, untuk orang-orang minoriti.
“Kita layak untuk dilihat dan didengari serta menerima peluang supaya semua dapat tempat duduk di meja. Itu sahaja yang kita mahukan. Berikan kita peluang dan biar dibuktikan bahawa kita sememangnya layak,” ujar Yeoh, 61, ketika memberi ucapan di bilik media Oscar.
JIWA kembara, muda dan gila-gila Brendan Frazer
Bernafas semula – Brendan
Dalam pada itu, Brendan beremosi ketika memberikan ucapan apabila akhirnya merangkul trofi Oscar. Katanya, bukan mudah untuk membina kejayaan kalau tidak mengambil risiko dalam kerja seni.
“Saya mula berlakon 30 tahun lalu. Bukan mudah buat saya, namun satu perkara yang perlu diakui bahawa ada masanya, saya tak menghargai apa yang dimiliki dari segi fasiliti sampailah fasa tersebut berhenti.
“Terima kasih untuk pengiktirafan ini. Semua ini ibarat ekspedisi menyelam. Saya berada di bawah dasar laut dan dibantu orang sekeliling naik ke permukaan air kembali bernafas,” ujar Brendon, 55, ketika memberikan ucapan.
Oscar edisi kali ini menyaksikan lebih banyak ‘rona’ dibawa seterusnya diangkat sebagai pemenang di pentas megah tersebut sekali gus menjadikan itu satu petanda positif bahawa Hollywood semakin terbuka dan mengakui kehebatan pelaku seni bukan hanya datang dari bakat ‘komuniti’ mereka.
Bagi kategori Lagu Asal Terbaik, lagu India berjudul Naatu Naatu diangkat sebagai pemenang sekali gus menewaskan pesaing popular seperti Hold My Hand (Lady Gaga) dan Lift Me up (Rihanna).
“Saya membesar dengar lagu-lagu band The Carpenters tapi sekarang saya di sini menang Oscar,” ujar komposer lagu Naatu Naatu, M. M. Keeravani.
Ketika berucap menerima trofi, dia juga sempat menyanyikan bait-bait lirik secara rawak berbangga menjadi orang India yang berbunyi: “Rrr, harus menang. Kebanggaan setiap orang India dan mesti letak saya di mata dunia.”
Pengarah filem Everything Everywhere All at Once, Daniel Kwan dengan dua trofi dimenanginya termasuk Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik.
Bukan kejayaan industri perfileman Malaysia
Dalam dunia sinematik, sesiapa sahaja boleh diberikan keadilan dan diangkat sebagai wira sekiranya diberi ruang yang cukup.
Kejayaan tidak datang bergolek, namun untuk itu berlaku, risiko perlu diambil. Kalau terpaksa berkelana meninggalkan orang tersayang jauh beribu batu demi mengejar impian, maka kejarlah apa yang ingin digapai.
Seperti apa yang diucapkan penyanyi dan pelakon, Lady Gaga sebelum mendendangkan antem filem Top Gun: Maverick iaitu Hold My Hand: “Kita saling memerlukan antara satu sama lain. Kita perlukan banyak kasih sayang untuk mendepani kehidupan ini.
“Kadang-kadang, kita perlukan seorang adiwira dan ada ramai di sekeliling kita. Namun begitu, barangkali kita jadi adi wira untuk diri sendiri walaupun terpaksa ‘sakit’ di dalam.”
LAGU berbahasa Urdu dari filem India berjudul Naatu Naatu diangkat sebagai Lagu Asal Terbaik menewaskan calon popular lain seperti Hold My Hand (Lady Gaga) dan Lift Me Up (Rihanna).
Realiti Academy Awards ke-95 juga secara halusnya memberi tamparan buat industri perfileman Malaysia. Sebenarnya ramai lagi pelaku seni filem berbakat di Malaysia, namun tidak ‘didendangkan’ selayaknya.
Michelle tidak akan berada pada tahap sekarang sekiranya dia memilih untuk ‘duduk setempat’ dan tidak merantau ke Hong Kong ataupun Hollywood demi mengejar mimpinya sebagai aktres.
Benar, beliau lahir di negara ini namun kejayaan dikecapinya sejak awal hingga sekarang diukir di luar Malaysia, dengan bantuan orang-orang bukan produksi tempatan.
Kalau betul punya impian besar untuk membuktikan kepada dunia bahawa dunia boleh melihat kita, maka terbanglah tinggi dan usah pandang ke belakang lagi.
Jauh lagi perjalanan Malaysia untuk betul-betul menuju Oscar dan itu harus bermula dengan berhenti membikin karya-karya klise terkebelakang.
Pandanglah dari kaca mata berdarjah 360 atau dari setiap sudut. Apa pun, tahniah Tan Sri Michelle Yeoh! Malaysia tumpang bangga.
LADY Gaga tampil seringkas mungkin dan membuang semua solekan ketika mendendangkan lagu Hold My Hand yang dicalonkan dalam kategori Lagu Asal Terbaik.