fbpx

Mahkamah: Lelaki kudung dalang pelaburan palsu dijel enam bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Andrew Mark (berkerusi roda) dan Darren ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. FOTO: SADDAM YUSOFF

SHAH ALAM – Seorang lelaki berkudung yang merupakan dalang sindiket pelaburan antarabangsa bersama rakannya dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan penipuan lebih RM600,000, empat tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhi hukuman itu selepas Andrew Mark Peters, 55 dan Darren Anthony Mcnicholas, 51, yang merupakan warga United Kingdom (UK) mengaku bersalah terhadap masing-masing dua pertuduhan pilihan yang dibacakan secara berasingan dalam Bahasa Inggeris.

Mahkamah memerintahkan penjara tersebut berjalan serentak dari tarikh mereka ditangkap pada 21 Februari lalu.

Andrew Mark yang kudung kaki kanan dan hadir prosiding dengan berkerusi didenda RM180,000 manakala Darren sebanyak RM140,000. Sekiranya gagal bayar boleh dipenjara tambahan antara 16 dan 22 bulan.

Rozilah dalam penghakimannya menegaskan perbuatan itu merupakan kesalahan serius kerana melibatkan isu global dan berharap tertuduh insaf dan tidak mengulanginya semula.

Berdasarkan kesemua pertuduhan itu, Andrew Mark sebagai dalang sindiket bersama Darren telah menipu seorang warga Scotland bernama Ian Stachan masing-masing iaitu USD 5,672.41 (RM25,528.68) dan EUR 121,200.00 (577,691.87) yang dimasukkan dalam dua buah akaun bank milik Premier Tranfers Ltd.

Ini bagi membuat pelaburan jangka masa singkat menerusi pembelian saham di dua buah syarikat tidak wujud iaitu Novocure Limited dan Lithion Power Corp.

Kesalahan itu dilakukan mereka dengan menggunakan nama samaran sebagai Henry Paxton dan David Henshaw di dalam unit sebuah bangunan di Petaling Jaya dekat sini pada 21 Mei dan 27 Jun 2019.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Fahmi Abd. Moin mewakili kedua-dua tertuduh memohon penjara tidak melebihi enam bulan dengan mereka menyesal atas kesalahan itu.

“Mereka yang telah berkeluarga tidak mempunyai rekod lampau di UK dan negara ini selain Andrew mempunyai masalah kesihatan dan sukar bergerak tanpa bantuan kerusi roda,” katanya.

Bagaimanapun pasukan pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Fadhly Mohd. Zamry memohon hukuman setimpal memandangkan penularan kes penipuan bukan sahaja berlaku di Malaysia malah serata dunia.

“Mereka telah beroperasi sejak 2015 dan berpengkalan di Lembah Klang seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab sindiket itu.

“Kepentingan awam harus melebihi kepentingan tertuduh. Apabila hukuman terlalu rendah, maka akan beri mesej bahawa pihak mahkamah tidak ambil berat kesalahan sebegini,” tegasnya.

Sebelum ini, SPRM membongkar satu sindiket ‘scammer pelaburan’ yang didalangi oleh warga UK bersama beberapa negara lain kerana turut terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram serta rasuah menerusi Op Tropicana.

Mereka dipercayai telah menipu mangsa yang terdiri daripada warga Australia dan UK dengan memperdaya mereka untuk membuat pelaburan tidak wujud.

Modus operandi sindiket ini adalah mencari mangsa menerusi media sosial dan panggilan telefon.

Ahli sindiket akan menghubungi mangsa setelah mereka klik pada pautan untuk mendaftar dalam syarikat pelaburan serta memasukkan butiran peribadi.

Sindiket ini dipercayai telah memperoleh kira-kira AUD60 juta (kira-kira RM200 juta) hasil kerja penipuan itu. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI