fbpx

Johor tambah bilangan RTBJ, bantu lebih ramai miliki kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ONN HAFIZ (dua dari kiri) menunjukkan buku pelan Strategik Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) 2023-2027 sempena majlis Pelancaran Transformasi PKPJ di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru, hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri merancang untuk membina sehingga 500 unit kediaman Rumah Transit Bangsa Johor (RTBJ) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif RTBJ itu bertujuan untuk membolehkan lebih ramai rakyat negeri ini untuk memiliki rumah kediaman sendiri, pada masa depan.

Menurut beliau, melalui program tersebut, individu yang layak boleh menyewa unit RTBJ dengan bayaran sebanyak RM650 sebulan.

“Daripada jumlah RM650 itu, sebanyak RM455 akan ditolak sebagai bayaran sewa bulanan manakala RM195 akan dijadikan simpanan mereka selama lima tahun.

“Selepas lima tahun, jumlah wang simpanan terkumpul adalah sebanyak RM11,000, dan wang berkenaan akan digunakan untuk membayar deposit rumah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Transformasi Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.

Tambah Onn Hafiz, sejumlah 93 unit kediaman RTBJ akan dibina tahun ini, manakala 216 unit lagi akan dibina tahun depan dan berbeza dengan skim ‘rent to own’ yang telah diperkenalkan terlebih dahulu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. memberitahu, kerajaan negeri telah mengenal pasti lebih 10,000 kediaman rumah setinggan yang didirikan di kawasan berstatus tanah persekutuan, di tepi sungai serta yang dihuni warga asing.

“Johor Bahru antara daerah dengan jumlah penempatan setinggan tertinggi di negeri ini dan kita akan beri tumpuan kepada usaha membebaskan penempatan setinggan melalui penubuhan pasukan khas yang telah digerakkan sejak tahun lalu.

“Setakat ini, beberapa penempatan setinggan sudah dirobohkan terutama yang melibatkan penghuni bukan orang tempatan,” ujarnya- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI