fbpx

Dua pemotong rumput cedera dirempuh trak pikap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang pemotong rumput yang cedera dalam kejadian langgar lari di Taman Ria, Sungai Petani pada pagi ini.

SUNGAI PETANI – Dua pemotong rumput syarikat pembersihan, E-Idaman Sdn. Bhd. cedera akibat dirempuh sebuah trak pikap yang terbabas dalam kejadian langgar lari di Jalan 3, Taman Ria Jaya, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 9.40 pagi itu, mangsa, Mohd Hafizan Derani, 24, dan Muhd. Afiq Haikal Rustam, 22, cedera pada lutut dan pinggang akibat dirempuh trak pikap Mitsubishi Triton dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk mendapatkan rawatan.

Penyelia syarikat bagi kawasan Taman Ria, Roshidi Ismail, 41, memberitahu, ketika kejadian, dua mangsa terbabit sedang memotong rumput di bahu kiri jalan manakala dua lagi rakan mereka melakukan kerja sama di sebelah kanan bahu jalan.

“Saya yang berada berdekatan lokasi kejadian melihat kenderaan itu dipandu laju dari arah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Ria dan hilang kawalan sebelum merempuh dua kereta yang diletakkan di hadapan rumah.

“Selepas merempuh Perodua Kancil dan Perodua Viva, pikap itu yang dipercayai dipandu seorang lelaki tempatan cuba melarikan diri dan bertindak merempuh dua pekerja saya di bahu jalan menyebabkan mereka cedera,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Roshidi, pemandu trak pikap dipercayai memecut laju dan enggan memberhentikan kenderaan walaupun dua lagi rakan setugas mangsa cuba menahannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada dua pemilik kenderaan yang dirempuh trak pikap.

“Saya turut difahamkan kedua-dua pekerja pembersihan yang cedera dalam kejadian itu akan membuat laporan polis selepas selesai mendapatkan rawatan di HSAH,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI