fbpx

Dewan Rakyat: 170 kompaun bernilai RM7.47 juta dikeluar MCMC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan 170 kompaun bernilai RM7.47 juta sepanjang tempoh 2018 hingga 2022 kepada pemegang lesen syarikat telekomunikasi kerana gagal mematuhi standard kualiti perkhidmatan yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, 49 kompaun bernilai RM2.19 juta dikeluarkan berkaitan kegagalan mematuhi standard mandatori bagi perkhidmatan selular awam, 59 kompaun bernilai RM2.69 juta kerana gagal mematuhi standard perkhidmatan jalur lebar berwayar dan 62 kompaun bernilai RM2.59 juta diberi kerana gagal patuhi perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar.

“Terdapat kompaun bernilai RM50,000 telah dikeluarkan kepada satu syarikat telekomunikasi tempatan kerana gagal mencapai piawaian kualiti perkhidmatan di Sabah iaitu berkenaan perkhidmatan akses jalur lebar tanpa wayar.

“Maklum balas daripada orang awam bagi kawasan yang mempunyai masalah perkhidmatan adalah amat dialu-alukan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

“Sebarang aduan berkaitan kualiti perkhidmatan dan rangkaian telekomunikasi boleh disalurkan terus kepada portal aduan MCMC menerusi pautan laman web https://aduan.skmm.gov.my,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang ingin tahu mengenai kekerapan pemantauan kualiti capaian perkhidmatan panggilan dan Internet di Sabah serta jumlah kompaun yang dikenakan kepada syarikat telekomunikasi akibat gagal menyediakan standard kualiti ditetapkan bagi tempoh lima tahun.

Teo berkata pada tahun lepas, MCMC mengeluarkan 29 Arahan Suruhanjaya kepada pemberi perkhidmatan yang gagal mematuhi Standard Mandatori melibatkan 29 lokasi berbeza di Sabah.

Melalui Arahan Suruhanjaya ini, beliau berkata pemberi perkhidmatan wajib menambah baik kualiti perkhidmatan dengan mengoptimumkan atau menaik taraf menara sedia ada agar kualiti pengalaman pengguna berada pada tahap yang baik dan ketidakpatuhan terhadap arahan itu boleh menyebabkan syarikat dikenakan penalti sivil sehingga RM200,000.

“MCMC telah melakukan pengukuran semula untuk menyemak kepatuhan pemberi perkhidmatan terhadap kesemua 29 Arahan Suruhanjaya yang telah dikeluarkan di Sabah. Setakat 9 Nov 2022, hasil semakan mendapati bahawa Standard Mandatori telah dicapai di semua 29 lokasi tersebut.

“Aktiviti audit kualiti perkhidmatan ini juga akan diteruskan untuk 2023 dengan sasaran sebanyak 4,000 lokasi di seluruh negara termasuklah 225 lokasi untuk Sabah bagi memastikan Standard Mandatori terus dipatuhi, sekali gus dapat memperbaiki masalah jaringan jalur lebar terutamanya di kawasan luar bandar,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI