fbpx

Lelaki maut, motosikal rempuh lori masuk simpang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal ditunggang mangsa selepas merempuh sebuah lori di Kilometer 109, Jalan Raya Timur-Barat dekat Batu Melintang, Jeli hari ini. FOTO IHSAN POLIS

JELI – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori yang sedang membelok untuk masuk ke simpang jalan di Kilometer 109, Jalan Raya Timur-Barat dekat Batu Melintang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 tengah hari itu, mangsa, Mohd. Kamaruzzaman Mohd. Noordin, 43, yang bekerja sendiri meninggal dunia akibat cedera parah pada bahagian kaki ketika menerima rawatan di Hospital Jeli di sini.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Saari Yaacob berkata, siasatan mendapati, mangsa yang tiada lesen memandu menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dari arah Batu Melintang ke Jeli.

Menurutnya, pada masa sama, sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun berada di laluan sama dan dipercayai membelok kenderaannya ke kanan di simpang jalan menuju ke Kampung Sungai Long di sini.

“Mohd. Kamaruzzaman yang berada di belakang lori itu dikatakan sedang memotong garisan berkembar terus merempuh sisi kanan lori terbabit.

“Insiden itu menyebabkan mangsa cedera parah pada bahagian kaki dan dibawa ke Hospital Jeli sebelum disahkan meninggal dunia sejam kemudian iaitu kira-kira pukul 2.45 petang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Saari, siasatan lanjut mendapati, kemalangan itu berpunca daripada tindakan mangsa yang memotong di garisan berkembar.

Tambahnya, polis masih menjalankan siasatan berhubung nahas itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI