fbpx

YB perlu malu bila Parlimen digelar ‘zoo’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MOHD. RASDAN AHMAD
WARTAWAN EKSEKUTIF

BUKAN mahu merendah-rendahkan institusi Parlimen Malaysia, namun sejak kebelakangan ini, persidangan Dewan Rakyat sering kali dianggap tempat berbalah Ahli Parlimen yang dipilih rakyat ketika pilihan raya.

Saban tahun keadaan tersebut masih berlaku, tidak kira parti mana yang menjadi dominan dan membentuk kerajaan. Di sebelah kerajaan dan di sebelah pihak pembangkang pun perkara yang sama berlaku.

Sikap Ahli Parlimen yang suka membuat provokasi, membahas perkara tidak penting serta mengata pihak lawan merupakan antara punca kenapa perbalahan mulut di antara mereka berlaku.

Dengan kemudahan yang ada ketika ini, Ahli-ahli Parlimen sepatutnya faham dan tidak melakukan perkara yang membolehkan mereka dicop sebagai ‘haiwan’ ketika berbahas kerana di mana sahaja rakyat dapat memerhati.

Dunia sudah berbeza dan berubah, hanya buka gajet ma­sing-masing tidak kira di mana rakyat boleh memerhati mereka berdebat.

Tidak hairan apabila ketika Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Sesi Parlimen ke-15 baru-baru ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor berkongsi pertanyaan oleh orang ramai ketika beliau berkunjung ke satu kedai makan.

Jelas Ahli Parlimen Cameron Highlands itu yang berkongsi rasa terkejut apabila masyarakat ketika ini memberikan persepsi Dewan Rakyat sebagai tempat bergaduh dan bukannya untuk menyelesaikan isu rakyat.

Beliau berharap Ahli Parlimen sentiasa beradab bagi memastikan masyarakat tidak terus melabel Dewan Rakyat sebagai ‘zoo’.

“Selain pada itu saya ingin ingatkan adab dalam dewan. Semalam, saya pergi ke kedai dan mereka mengenali saya.

“Macam mana zoo? Saya terkejut, inilah implikasi masyarakat di luar sana. Jadi, saya berharap (semua ahli Parlimen) berpeganglah kepada etika,” katanya.

Pada masa sama, Ramli turut menegur sikap segelintir Ahli Parlimen yang gemar ‘bermesyuarat kecil’ ketika Ahli Parlimen sedang berbahas.

“Saya berharap tidak ada perjalanan mesyuarat kecil di dewan. Sementara seorang Yang Berhormat bercakap ada pula mesyuarat kecil di sebelah kanan dan kiri,” tegasnya.

Walaupun sudah ‘diperli kasar’ oleh rakyat, namun sikap Ahli Parlimen dilihat masih tidak berubah apabila ketika persidangan Dewan Rakyat yang membahaskan berkenaan usul Penggulungan

Kementerian bagi Belanjawan 2023 Rabu lalu perkara sama masih berlaku.

Pengalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, adalah menjadi keperluan untuk seseorang Ahli Parlimen itu untuk berhujah mengikut fakta supaya nampak lebih intelektual.

Selain berbahas mengikut fakta, Ahmad Fauzi juga berharap supaya Ahli Parlimen dapat me­ngurangkan gurauan atau lawak jenaka dan lebih serius ketika berbahas.

“Perbahasan sesuatu sangat serius kerana isu yang dibawa itu juga mewakili suara rakyat.

“Saya kalau boleh mahu Ahli Parlimen mengurangkan sedikit lawak jenaka dan fokus kepada perbahasan mereka,” katanya.

Sudah-sudahlah bergaduh, pilihan raya sudah berakhir dan kerajaan telah ditubuh. Ambil cara negara-negara maju lain, tidak kira parti mana menjadi kerajaan, parti pembangkang akan membantu di belakang mereka.

Berbalah tetap ada, tetapi di hadapan rakyat terutamanya di Parlimen yang dianggap sebagai ‘dewan suci’ tidak perlu berlaku, janganlah sehingga rakyat melabelkan Parlimen sebagai ‘zoo’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI