fbpx

Tak sempat seludup cecair vape RM150,000 ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amran (dua, kiri) menunjukkan cecair vape yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Tumpat hari ini. - Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI/ kOSMO!

TUMPAT – Taktik seorang perunding sebuah firma guaman yang menggunakan perkhidmatan kurier bagi menyeludup cecair vape bernilai RM150,000 ke negara jiran terbongkar apabila dia dicekup dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Bayu di sini semalam.

Lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur itu ditahan kira-kira pukul 5 petang semasa berada di dalam rumah yang disewanya.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, siasatan mendapati, suspek turut menyewa rumah sebelah untuk dijadikan stor menyimpan bekalan cecair vape yang dibawa dari Lembah Klang untuk diseludup ke negara jiran.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut menemui empat kotak besar syarikat perkhidmatan kurier yang mengandungi pelbagai jenis cecair vape.

“Pemeriksaan di dalam kotak-kotak itu menjumpai sebanyak 11,038 botol cecair vape pelbagai jenama dipercayai untuk diseludup ke Thailand.

“Suspek mengisi kesemua cecair vape itu di dalam kotak syarikat kurier bagi mengaburi mata pihak berkuasa semasa menjalankan kegiatan penyeludupan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat hari ini.

Mengulas lanjut, Amran memberitahu, lelaki terbabit sebelum ini pernah ditahan selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan penyeludupan cecair vape ke negara jiran dan sudah dikenakan tindakan.

Katanya, suspek yang dipercayai mempunyai kedai vape di Pasir Mas tidak serik dan masih menjalankan kegiatan itu meskipun sudah tertangkap.

“Orang ramai diingatkan agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan pengedaran barang terlarang termasuk taktik menggunakan syarikat kurier sebagai penghantar barangan ke negara jiran.

“Rampasan cecair vape ini merupakan jumlah yang terbesar yang diperoleh IPD Tumpat untuk tahun ini,” katanya.

Tambahnya, suspek ditahan mengikut Seksyen 13A Akta Racun 1952 dan akan diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (Cawangan Farmasi) untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI