PETALING JAYA – Persatuan Seniman Malaysia menyifatkan insiden berdarah yang menimpa pelakon Kamal Adli di Singapura sebagai satu kejadian yang sangat membahayakan keselamatan selebriti.
Presiden Seniman, Zed Zaidi berkata, pihaknya mengesyorkan kepada mana-mana artis yang ingin melakukan aktiviti di luar negara supaya memaklumkan kepada pihaknya.
“Sekurang-kurangnya kami tahu tindakan atau bantuan seterusnya yang perlu diambil melalui persatuan dan juga pihak kerajaan walaupun kejadian berlaku di mana-mana negara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurutnya, Seniman juga bercadang melakukan penambahbaikan dalam aspek menjaga keselamatan artis terutama bagi mereka yang mahu ke luar negara atas urusan kerja.
“Selepas ini mungkin Seniman akan menyediakan borang yang mana artis-artis perlu isi jika ada kerja di luar negara. Kami akan buka satu fail khas. Kalau jadi apa-apa, kami boleh bantu,” ujarnya.
Zed turut meninggalkan nasihat kepada artis supaya mengurangkan aktiviti memuat naik hantaran di sosial media.
“Jangan terlalu menunjuk-nunjuk tentang kehidupan dalam sosial media kerana kita tidak tahu ada orang taksub dengan kita. Sampai tahap upah orang untuk pukul, bagi saya dia (suspek) bukan seorang ‘gentleman’.
“Kalau boleh pihak berkuasa Singapura mengambil tindakan paling tegas dan berat kepada orang sebegini,” katanya.
Sementara itu, penganalisis jenayah, Sahul Hamid Abdul Rahim berkata, mana-mana individu yang menerima ugutan bunuh perlu segera melaporkannya kepada pihak polis kerana ia adalah satu kesalahan jenayah.
Katanya, kejadian buruk itu boleh berlaku di mana-mana sama ada di dalam mahupun luar negara tanpa mengenal status individu yang menjadi mangsa ugutan.
“Jangan sesekali berdiam diri apabila mendapat sebarang ancaman atau ugutan,” katanya.














