fbpx

K2

Resmi padi, Jimmy Choo sentiasa ingat asal usul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
penulis (dua dari kanan) bersama beberapa rakyat Malaysia berpeluang bertemu dengan Jimmy Choo (tengah) di London, United Kingdom baru-baru ini.

SEMANGAT cinta pada tanah air sentiasa tersemat dalam jiwa ikon fesyen global, Datuk Jimmy Choo.

Walaupun imejnya terkenal di peringkat antarabangsa hingga ke Istana Buckingham, London, United Kingdom, figura kelahiran Pulau Pinang ini sentiasa ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk.

Mana tidaknya, kepakarannya menghasilkan kasut bermutu tinggi termasuk menyediakan kasut khas buat mendiang Puteri Diana berjaya menarik perhatian ramai di seluruh dunia termasuk selebriti antarabangsa tetapi beliau tetap mengenang Malaysia.

Ketika penulis diberi peluang bertemu dengan beliau sewaktu berada di London baru-baru ini, Jimmy Choo atau nama sebenarnya Jimmy Choo Yeang Keat mengakui beliau sangat berbangga kerana menjadi seorang anak Malaysia yang berpeluang menghasilkan kasut buat Puteri Diana.

Ujarnya, beliau tidak pernah berselindung mengenai asal usulnya, malah sentiasa menyatakan bahawa beliau adalah rakyat Malaysia dan lahir di bumi Malaysia meskipun sering diajukan soalan tersebut berulang kali oleh pemberita.

Beliau yang mendapat kepercayaan terutama daripada Putera Charles telah menubuhkan sebuah akademi fesyen iaitu Jimmy Choo Academy (JCA) bersama rakannya, Stephen Smith yang tujuan utamanya untuk melahirkan lebih ramai pereka berbakat.

BIARPUN sudah terkenal di serata dunia, anak kelahiran Pulau Pinang ini tetap berbangga sebagai anak Malaysia dan mahu mencurah ilmu fesyen kepada para pelajar di tanah air.

Meskipun baru ditubuhkan, JCA kini menjadi akademi berkaitan fesyen paling pantas berkembang di United Kingdom, malah turut mendapat penghormatan apabila akademinya itu menerima kunjungan Raja Permaisuri Britain, Camilla baru-baru ini.

“Negara saya (Malaysia) adalah segala-galanya dan saya berbangga menyatakan asal usul. Sebelum saya memulakan perniagaan, saya mendapat kepercayaan Putera Charles dan baru-baru ini Permaisuri Camilla membuat lawatan ke JCA.

“Saya sememangnya berbangga dan terharu bahawa kehadiran Permaisuri memberi kami penghargaan serta keistimewaan untuk melawat kampus kami.

“Permaisuri Camilla turut gembira terutama terhadap pelajar dalam pembuatan kasut. Beliau juga ambil berat tentang pelajaran,” katanya.

Dalam pada itu, Jimmy Choo mengakui bahawa beliau tiada masalah untuk pulang ke tanah air dan menyatakan kesediaan untuk mencurahkan idea serta pengalaman dengan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.

Beliau yakin, cadangannya itu mampu membantu pelajar IPT yang mengambil bidang berkaitan fesyen untuk mencapai tahap tinggi sehingga ke peringkat antarabangsa satu hari nanti.

“Sudah tentu saya berminat untuk berkongsi pengalaman dengan pelajar IPT di Malaysia. Malah, mungkin saya boleh mencurahkan sedikit sebanyak ilmu kepada mereka.

“Buat permulaaan ini, saya fikir saya ingin bertemu dulu dengan penuntut di IPT Malaysia yang berminat. Saya akan balik ke Malaysia tidak lama lagi dan mungkin saya boleh berbuat demikian.

“Saya ingin melawat dan bertemu dengan tenaga pengajar serta pelajar-pelajar mereka bagi melihat sendiri perkembangan bidang ini di sana selain bertukar-tukar fikiran.

“Saya fikir banyak boleh kita lakukan bersama, selain bertukar-tukar pendapat,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI