fbpx
NATASHA HUDSON

Doakan jodoh saya berkekalan – Natasha Hudson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APALAH kuasa manusia untuk menolak takdir Tuhan andai jodoh masih lagi memihak pada diri seseorang walaupun pernah mengharungi onak duri dalam melayari bahtera alam rumah tangga.

Hampir setahun bergelar isteri buat kali kelima bersama seorang lelaki bernama Jay Jasmin, selebriti jelita Natasha Hudson berharap perkahwinannya kali ini kekal berpanjangan sehingga ke akhir hayat.

Ketika meraikan hari bahagianya pada tahun lalu, Natasha yang merupakan seorang pelakon dan juga model menerusi kenyataan dikongsikan dalam InstaStory mengharapkan agar mahligai tersebut tidak disensasikan pihak media.

Kata Natasha atau nama lengkapnya Natasha Liyana Hudson, 41, dia tidak mengharapkan publisiti murahan, sebaliknya hanya mahukan doa yang baik-baik untuk rumah tangganya kekal sehingga ke akhir hayat.

NATASHA dan suami sepakat mahu menstabilkan kehidupan termasuk dari segi ekonomi sebelum memikirkan untuk mendapatkan zuriat. Foto – SADDAM YUSOFF

“Doakanlah banyak-banyak buat kami dan sekeluarga hingga ke akhir hayat. Buat pihak media, tolong jangan keluar dengan tajuk laporan tidak betul demi menjual berita kalian,” tulisnya.

Kesempatan bertemu empat mata dengan ibu kepada tiga orang cahaya mata itu di sebuah majlis baru-baru ini, penulis cuba mengorek kehidupan rumah tangganya bersama suami.

Sementelah selepas dia mengambil keputusan berhijrah ke Langkawi, Kedah untuk menjalani kehidupan di sana.

Tenang dan bahagia

Jujur kata Natasha, dia berasa sangat bahagia dan tenang selepas setahun bergelar seorang isteri kepada Jay.

“Alhamdulillah, saya sangat bahagia dan tenang. Saya bersyukur bertemu dengan seseorang yang boleh faham diri ini.

“Antara saya dan suami, kami berbual seperti seorang rakan. Tapi apa yang penting, kami datang daripada keluarga yang sederhana,” katanya.

Pelakon filem Chermin itu turut melahirkan rasa syukur kerana keluarga mentua boleh menerima kehadirannya sebagai seorang menantu.

NATASHA sudah menganggap Langkawi sebagai rumah utamanya dan sangat bahagia tinggal di pulau legenda itu.

“Apa yang paling penting, saya bersyukur keluarganya boleh menerima kehadiran saya dalam hidup mereka. Itu yang membuatkan saya sangat bersyukur.

“Jadi untuk perkahwinan kali ini, saya minta doakan supaya jodoh saya dipanjangkan. Siapa yang tidak mahu, bukan?” katanya.

Zuriat

Menyentuh soal cahaya mata, kakak kepada pelakon, Tania Hudson itu tidak menafikan menyimpan keinginan menambah bilangan zuriat terutama untuk memberi cahaya mata buat suaminya, namun terpaksa memikirkan beberapa perkara sebelum bersedia ke arah itu.

Katanya, buat masa ini dia dan juga suami tidak terlalu terdesak untuk dikurniakan zuriat dan hanya berserah pada rezeki yang dikurniakan Allah SWT suatu hari nanti.

“Saya dan suami pernah berbincang untuk memiliki zuriat bersama, namun memilih mahu stabilkan ekonomi dahulu.

“Selepas setahun mendirikan rumah tangga, sudah tentu kami inginkan cahaya mata. Saya selalu usik suami tentangnya (untuk memiliki anak).

“Tapi kami kena stabilkan dahulu keluarga, punca rezeki dan anak-anak (hasil perkahwinan terdahulu),” kata Natasha.

SELEPAS setahun mendirikan rumah tangga, Natasha mengakui hidupnya kini dalam fasa bahagia dan tenang bersama suami tercinta.

Ujar selebriti berdarah Melayu-Australia itu lagi, walaupun mempunyai keinginan untuk menambah bilangan zuriat, namun dia tidak boleh menunggu terlalu lama disebabkan faktor usia.

“Kalau mahu miliki zuriat lagi selepas ini, insya-Allah untuk tahun seterusnya (tahun hadapan). Tapi saya pun tidak boleh menunggu lama sebab faktor usia,” katanya.

Ketika disoal tentang perasaan suami, Natasha berkata, Jay sebenarnya tidak kisah jika perkahwinan mereka tiada rezeki berkaitan cahaya mata, memandangkan dia sudah pun memiliki tiga orang anak tiri (anak-anak Natasha).

“Suami kata dia tidak kisah. Kalau tidak ada, pun tak mengapa. Tapi kalau ada dia okey saja. Sebab bila saya cakap nak (anak), sudah tentu dia suka.

“Bagi suami, kehadiran tiga orang anak ‘ekspres’ (tiri) sudah cukup menggembirakan hatinya. Dia sangat senang dengan kehadiran anak-anak saya. Tapi saya tahu dia inginkan anak sendiri juga,” jelasnya.

Kerjaya

Sementara itu menyentuh tentang kehidupannya selepas mengambil keputusan menetap di Langkawi bersama suami, Natasha berkata, dia sebenarnya tetap aktif dalam bidang seni.

Justeru, sudah menjadi satu rutin buatnya apabila kerap berulang-alik dari Langkawi dan Kuala Lumpur.

Sejak menetap di situ, aktres tinggi lampai berusia 41 tahun itu sudah jatuh cinta dengan kehidupan dan suasana di sana kerana berasa lebih tenang.

“Rezeki dalam bidang seni tidak pernah putus. Saya kerap berulang-alik antara Langkawi-Kuala Lumpur jika ada tuntutan kerja.

“Sejak menetap di Langkawi, saya memang sudah jatuh cinta dengan suasana di sana. Sangat tenang.

“Bila jarang balik ke ibu kota, sesekali kalau kena memandu di sini memang stres (kesesakan melampau). Saya dah tak boleh berdepan lagi suasana sebegitu,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN