DI dalam diari milik seorang remaja perempuan, Marzia Mohammadi, 16, dia telah menyenaraikan semua perkara yang mahu dilakukan di dalam hidupnya.
Di bahagian paling atas diari itu, dia mencoretkan keinginannya untuk bertemu dengan novelis, Elif Shafak dan melawat Menara Eiffel di Paris, Perancis serta menikmati piza di restoran Itali.
Di dalam diari tersebut juga, Marzia menyuarakan keinginannya untuk menulis novel pada suatu hari nanti seperti Shafak.
Malangnya, impian anak gadis itu tidak kesampaian setelah dia terbunuh dalam satu serangan pengeboman berani mati di pusat pembelajaran Kaaj di Kabul, Afghanistan.
Tragedi yang berlaku di kawasan kejiranan yang didominasi kaum Hazara itu berlaku pada September tahun lalu.
Serangan yang menyebabkan 53 kematian itu juga telah mengorbankan sepupu Marzia iaitu Hajar Mohammadi, 16, dengan majoriti mangsa lain adalah perempuan.
Antara hasrat Marzia yang tercatat dalam diarinya itu adalah keinginan menunggang basikal, belajar main gitar dan berjalan di taman.
Namun, hasrat gadis itu tidak kesampaian kerana semasa hidupnya negara itu berada di bawah pemerintahan Taliban.
Memandangkan Marzia dan sepupunya mempunyai kecintaan yang tinggi terhadap ilmu pengetahuan dan buku, ahli keluarga telah meletakkan sejumlah buku kegemaran mereka semasa disemadikan.

Sebuah ‘perpustakaan’ berwarna oren telah dibina di perkuburan mereka sebagai dedikasi buat kedua-dua gadis tersebut.
Sementara itu, bapa saudara Marzia, Zaher Modaqeq yang menemui diari bersama barang-barang mangsa menyatakan bahawa gadis itu seorang yang kreatif dan mempunyai pemikiran cukup jelas.
“Beberapa pemikirannya sangat mendalam sehingga saya sendiri rasa tidak percaya ia diluahkan oleh kanak-kanak sekecil itu,” katanya dengan nada suara sedih kepada agensi berita Al-Jazeera.
Serangan itu telah mendapat kecaman meluas di seluruh dunia termasuk daripada idola Marzia sendiri iaitu Shafak.
“Hati saya hancur selepas mengetahui bagaimana mereka yang suka membaca sastera dan novel saya menerima nasib sedemikian.
“Kematian tragis Marzia dan Hajar bersama berpuluh-puluh gadis Hazara di Afghanistan dalam pengeboman berani mati di sebuah pusat pembelajaran di Kabul benar-benar menyayat hati,” jelasnya.
Tambahnya, gadis-gadis itu menjadi sasaran dan diserang kerana mereka adalah wanita daripada minoriti yang teraniaya.
Katanya, mereka telah didiskriminasi secara sistematik dan dinafikan hak asasi yang paling asas.
Serangan terhadap kaum Hazara yang sebahagian besarnya berfahaman Muslim Syiah selalunya dilakukan oleh kumpulan militan.
Malah, serangan sedemikian telah meningkat dengan ketara sejak diperintah oleh Taliban.

Berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh kumpulan advokasi, Human Rights Watch menunjukkan bahawa telah berlaku 16 serangan terhadap kaum Hazara.
Semua serangan tersebut telah membunuh atau mencederakan sekurang-kurangnya 700 orang.
“Serangan terhadap kaum Hazara secara konsisten telah diabaikan.
“Ia memberi kesan yang tidak seimbang terhadap wanita.
“Mereka menanggung beban berganda.
“Wanita Hazara bukan sahaja didiskriminasi, malah sering dibunuh kerana jantina dan identiti Hazara mereka,” kata Anis Rezaei.
Anis merupakan seorang ahli akademik kaum Hazara yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Oxford, England.
Anis menambah, serangan tersebut bukan insiden terpencil.
Malah, pengeboman terbaharu itu merupakan serangan keempat yang menyasarkan sekolah Hazara di Kabul sejak 2018 dan telah meragut lebih 200 nyawa remaja.
Pusat pembelajaran Kaaj, tempat Marzia dan Hajar terbunuh juga menjadi sasaran pada 2018.
“Ia mewakili corak serangan sistematik yang disasarkan ke atas orang Hazara.
“Sepanjang dua dekad lalu, kaum Hazara telah menjadi mangsa serangan genosid di sekolah, kelab sukan, hospital, majlis perkahwinan dan perhimpunan sosial lain,” katanya.
Tambahnya, tiada seorang pun daripada pelaku serangan itu telah dibawa ke muka pengadilan di bawah mana-mana kerajaan.
Dikatakan, sejak Taliban mengambil alih Afghanistan, mereka telah mengenakan banyak sekatan ke atas kebebasan wanita termasuk penutupan sekolah menengah perempuan.
Berjuta-juta gadis Afghanistan, termasuk adik-beradik Marzia tidak dapat bersekolah selama lebih setahun.
Namun begitu, Modaqeq berkata, keadaan itu menyemarakkan lagi motovasi Marzia dan Hajar.
“Mereka adalah pelajar biasa di sekolah menengah.
“Tetapi selepas pengambilalihan Taliban, mereka tekad untuk menamatkan pengajian dan mencapai matlamat disasarkan,” jelasnya.
Selain itu, Zaher berkongsi beberapa halaman dalam diari Marzia di mana mangsa telah memperincikan aspirasinya dengan teliti.
Mangsa menetapkan matlamatnya sendiri, menerangkan kesukaran yang ditanggungnya dan lain-lain lagi.
Malah, dalam diarinya yang bertarikh 15 Ogos 2021, Marzia menulis bahawa Taliban merampas ibu kota Afghanistan.
“Orang ramai takut dan kami terkejut serta tidak percaya dengan situasi ini terutamanya untuk gadis seperti saya,” tulis Marzia dalam diarinya.
Tulisan itu merujuk kepada sekatan Taliban terhadap kebebasan dan hak wanita di negara berkenaan.
Pada 23 Ogos 2021, Marzia menerangkan pengalaman pertamanya di bandar itu di bawah pemerintahan Taliban.
“Melangkah keluar buat kali pertama sejak ketibaan Taliban. Ia menakutkan dan saya berasa sangat tidak selamat,” katanya.
Dalam pada itu, Zaher menjelaskan, pelajar Hazara berulang kali menjadi sasaran kerana kecintaan mereka terhadap pelajaran.
“Pengganas sering menyasarkan tempat pendidikan Hazara kerana ia memupuk rasa cinta untuk belajar dan berkembang melalui pendidikan.
“Ia tidak mudah kerana kurang tiga dekad lalu, ramai ibu bapa Hazara keberatan menghantar anak-anak perempuan mereka ke sekolah.
“Bagaimanapun, tabiat itu berubah secara beransur-ansur melalui kesedaran sosial dalam masyarakat,” ujarnya dalam dialek bahasa Parsi.














