fbpx

Nelayan tidak setuju beri lesen tangkap siput retak seribu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razali (duduk tengah) bersama pegawai Jabatan Perikanan dan LKIM serta wakil persatuan nelayan di Perlis selepas berbincang mengenai isu tangkapan siput retak seribu di LKIM, Kuala Perlis, hari ini.

KUALA PERLIS – Tiga persatuan nelayan bertegas untuk tidak membenarkan pengeluaran lesen menangkap siput retak seribu bagi menjaga ekosistem marin di perairan negeri itu.

Persatuan tersebut adalah Persatuan Nelayan Perlis, Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Perlis dan Persatuan Nelayan Kawasan Perlis Selatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razali Saad berkata, keputusan itu mengekalkan dasar yang dibuat dalam mesyuarat agung persatuan terlibat dalam menjaga keterjaminan makanan dan sumber marin.

“Selain faktor cuaca, isu kekurangan hasil laut adalah disebabkan kegiatan menangkap siput retak seribu yang menggunakan kaedah salah sehingga merosakkan dasar laut.

“Dalam menyuarat hari ini, pihak nelayan mendedahkan cara sesetengah nelayan menangkap siput menggunakan kaedah menangguk bukan tradisional menyebabkan tahap kerosakan kritikal dasar laut dalam tempoh lama,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini hari ini.

Katanya, Perlis mempunyai kawasan laut terhad untuk aktiviti menangkap ikan iaitu sepanjang garisan pantai dari sempadan Thailand ke Kuala Sanglang, Kedah sejauh 19 kilometer dengan nelayan hanya mempunyai jarak lapan batu nautika dari pantai ke tengah laut.

“Dalam perbincangan ini, pihak persatuan dan agensi berkaitan memohon pasukan penguat kuasa seperti polis marin dan Maritim Malaysia (APMM) lebih tegas dalam mengekang aktiviti pencerobohan nelayan luar yang menjalankan aktiviti penangkapan siput retak seribu secara haram.

“Untuk pengetahuan, aktiviti penangkapan siput retak seribu telah diharamkan sejak tahun 1980-an lagi bagi menjaga ekosistem marin dan sebelum ini hanya kaedah tangkapan menggunakan tangguk tradisional sahaja dibenarkan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI