fbpx

Mahkamah: Bekas setiausaha peribadi Syed Saddiq dakwa dikasari, diugut pegawai SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYED SADDIQ hadir di Mahkamah Tinggi, hari ini. FOTO FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

KUALA LUMPUR – Bekas setiausaha peribadi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, beliau dikasari dan diugut oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan dijalankan terhadap Ahli Parlimen Muar itu, tiga tahun lalu.

Siti Nurul Hidayah, 27, berkata, perbuatan pegawai-pegawai berkenaan menyebabkannya membuat laporan polis dan seterusnya mengadakan sidang media berkaitan kejadian tersebut.

Menurutnya, ketika pihak SPRM memulakan siasatan terhadap Syed Saddiq, beliau dihubungi oleh seorang pegawai bernama Mohd. Ihsan Sapuan agar memberi keterangan di ibu pejabat agensi berkenaan.

Ujar saksi pembelaan keempat itu, Mohd. Ihsan memperkenalkan diri sebagai pegawai penyiasat yang terlibat dalam siasatan terhadap Syed Saddiq.

“Dalam siasatan tersebut, saya telah diugut dan dikasari oleh pegawai-pegawai yang melakukan siasatan terhadap saya, lanjutan itu saya telah membuat laporan polis dan mengadakan sidang media mengenainya,” ujar Siti Nurul Hidayah.

Pada perbicaraan sebelum ini, Syed Saddiq memberi keterangan bahawa pendakwaan terhadapnya bermotifkan politik dendam manakala beberapa sahabatnya diugut oleh pegawai SPRM ketika siasatan dijalankan.

Ahli Parlimen Muar itu menyatakan, mereka yang juga ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) diugut supaya memberikan kenyataan mengikut kehendak SPRM.

Ketika membacakan pernyataan saksi, Siti Nurul Hidayah berkata, beliau mula mengenali Syed Saddiq melalui satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Challenger dan selanjutnya berkhidmat sebagai setiausaha peribadinya ketika beliau menjadi ahli Bersatu pada 2016.

Ujar saksi, tugasnya antara lain ketika itu adalah mengambil gambar dan video ketika Ahli Parlimen Muar itu sedang bertugas dan seterusnya dihantar ke media sosial selain menguruskan jadual harian beliau.

Menjawab soalan pada sesi pemeriksaan balas, penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu bersetuju bahawa beliau dilantik sebagai setiausaha peribadi kerana Syed Saddiq mempercayainya.

Kata Siti Nurul Hidayah, beliau kemudian menganggotai `Team Syed Saddiq’ yang ditubuhkan pada 2018 bagi membantunya melaksanakan kempen pilihan raya.

Menurut Siti Nurul Hidayah, Syed Saddiq mula melakukan gerak kerja khidmat untuk mempromosikan diri selaku calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Saksi berkata, sepanjang tempoh 10 program yang dianjurkan, Syed Saddiq menggunakan wangnya sendiri tanpa bantuan kewangan daripada Armada mahupun Bersatu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI