fbpx

‘Kalau dia sasar bahagian bawah, memang Kamal sudah tiada’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UQASHA memaklumkan keadaan Kamal baik selepas sedar dari pembedahan yang dijalaninya hari ini.

PETALING JAYA – “Syukur dia sasarkan bahagian belakang, kalau bawah sikit memang Kamal Adli sudah tiada.”

Demikian perkongsian aktres Uqasha Senrose berhubung insiden yang menimpa suaminya apabila diserang dengan chota besi dan senjata tajam di tapak Singapore Expo, Singapura semalam.

Uqasha dalam satu siaran langsung Instagram memberitahu, dia masih trauma dengan kejadian yang menimpa suaminya.

“Saya sehingga kini masih trauma sebab semuanya berlaku di depan mata sendiri dengan melihat suami saya dipukul pada bahagian belakang badan menggunakan chota besi.

“Motif individu itu memang untuk membunuh sebab dia pukul berkali-kali di bahagian leher kemudian pipi dan bertalu-talu di badan,” kata pemilik nama penuh Nik Zaris Uqasha Nik Sen berkenaan.

Berkongsi keadaan suaminya, Uqasha memberitahu Kamal kini sudah sedar daripada kesan suntikan bius yang diterima untuk pembedahan hari ini.

“Dia baru sahaja sedar daripada kesan ubat bius selepas ditidurkan untuk jalani pembedahan.

“Kamal juga perlu membuat membuat imbasan X-ray untuk mengesan sekiranya berlaku sebarang keretakan pada anggota badan lain. Harap semua dapat mendoakan untuk Kamal,” katanya lagi.

Sementara itu, Uqasha yang popular menerusi drama Setelah Terlafaznya Akad menegaskan kejadian yang menimpa Kamal tidak seharusnya menjadi punca pergaduhan rakyat Malaysia dan Singapura.

“Orang Singapura semuanya baik-baik dan mereka bantu kami sekeluarga di sini.

“Jangan disebabkan apa yang berlaku kepada Kamal, anda semua hendak bergaduh. Hentikan semua pertelingkahan,” tegasnya.

Semalam, Uqasha mengejutkan seluruh negara apabila memuat naik sebuah video memberitahu suaminya cedera parah selepas dipukul oleh individu tidak dikenali dengan senjata tajam dan chota besi.

Katanya, Kamal dipukul berkali-kali oleh individu tidak dikenali di bahagian kepala, muka dan badan serta mengalami kecederaan parah sehingga perlu menjalani pembedahan di Hospital Besar Changi.

Suspek juga dilaporkan sudah ditahan oleh pihak polis.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mereka terlibat acara Singapore Expo semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI