fbpx

Jangan guna masjid, surau untuk kempen PRN -Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin ketika bertitah pada istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal keenam Dewan Negeri Selangor yang ke-14, di bangunan Dewan Negeri Selangor.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar ahli politik tidak menjadikan masjid dan surau di negeri ini sebagai pentas untuk berceramah dan berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor nanti.

Sultan Sharafuddin menegaskan, baginda mengingatkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) secara berterusan mengeluarkan arahan dari semasa ke semasa berhubung hal tersebut menjelang PRN itu.

“Beta menyeru untuk semua pihak yang mengambil bahagian di dalam pilihan raya nanti agar mematuhi peraturan sedia ada dan saling hormat menghormati satu sama lain.

“Ingatlah, tingkah laku orang-orang politik semasa tempoh kempen akan disaksikan dan dinilai rakyat sebelum mereka membuat pemilihan,” titah baginda pada istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal keenam Dewan Negeri Selangor yang ke-14, hari ini.

Sultan Sharafuddin juga menjelaskan masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca kepada perbalahan dan sengketa yang akhirnya membina jurang pemisah di kalangan umat Islam atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik yang tiada kesudahannya.

Titah baginda, ini berlaku lantaran terdapat penceramah-penceramah tertentu ketika memberi ceramah di masjid dan surau telah mengambil kesempatan untuk menyindir, menghina, mencaci malah memfitnah pihak-pihak dan golongan tertentu atas sebab perbezaan fahaman politik.

“Beta amat bimbang budaya sebegini jika tidak dibendung akan terus memecah belahkan umat Islam khususnya orang Melayu.

“Sekali lagi, beta menegaskan bahawa hanya yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai agama Islam sahaja yang layak untuk diberikan tauliah untuk mengajar bagi mengelakkan anasir ajaran sesat serta budaya fitnah-memfitnah dari berlaku,” titahnya.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin menyambut baik langkah kerajaan negeri untuk terus memperkasa syiar Islam di Selangor dengan sebanyak RM65juta telah disediakan khusus bagi tujuan pembangunan sekolah agama, masjid dan surau serta pejabat agama Islam.

“Kedudukan agama-agama lain turut terpelihara di Selangor dengan peruntukkan berjumlah RM8juta pada tahun ini berbanding RM6.3juta tahun lalu kepada Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS),” titah baginda.

Dalam perkembangan berlainan, Sultan Sharafuddin memuji langkah berwawasan pentadbiran yang diterajui Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) menerusi pembangunan lima tahun iaitu Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Ini telah memacu pertumbuhan ekonomi Selangor dan memastikan Selangor terus kekal mengukuh sebagai pusat pertumbuhan utama ekonomi mampan di Malaysia dan rantau Asia.

“Beta dimaklumkan tahun 2022 adalah tahun yang cemerlang bagi Selangor apabila mencatat jumlah kutipan hasil tertinggi dalam tempoh enam tahun dan turut mencatatkan sumbangan terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia iaitu 24.8 peratus.

“Kutipan hasil negeri pada tahun 2022 telah merekodkan angka sebanyak RM2.533bilion melebihi sasaran awal RM2.05bilion dan lebih tinggi berbanding angka kutipan yang direkodkan pada tahun 2021 iaitu sebanyak RM2.284bilion,” tegas baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI