fbpx

Jadi mangsa buli jalanan, cermin kereta dinaiki Aiman Wynne pecah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN cermin hadapan kereta dinaiki Aiman yang dipecahkan individu tidak dikenali dalam satu kejadian kejar-mengejar semalam.

PETALING JAYA – Pelakon Aiman Wynne berkongsi detik cemas selepas terlibat dalam satu kejadian kejar-mengejar di atas lebuh raya selepas menghadiri acara Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) di Putrajaya, malam tadi.

Tanpa mengetahui punca sebenar dan motif kejadian berlaku, Aiman menceritakan detik dia menjadi mangsa pembuli jalanan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

“Selepas menghadiri acara TADS, saya ingin pulang ke rumah bersama pihak pengurusan, Faiz dan tiba-tiba kami diserang sebuah kereta Alza berwarna merah di atas lebuh raya.

“Ada dua orang individu tidak dikenali dalam kenderaan tersebut membuka tingkap menjerit dan marah-marah ke arah kami tanpa mengetahui puncanya.

“Setelah 10 minit berkejaran di atas lebuh raya, kami tiba di satu jalan kecil dan menyebabkan mereka menahan kenderaan kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Pemilik nama lengkap Aiman Nasir Wynne, 25, itu menjelaskan lanjut, tingkap kenderaan mereka dipecahkan oleh suspek selepas mereka tidak berjaya membuka pintu keretanya.

“Semasa memberhentikan kenderaan, seorang individu mengetuk tingkap arah pemandu bertubi-tubi dan kami menggerakkan kereta sehingga dia terjatuh.

“Seorang lagi individu berada di hadapan kereta terus memecahkan cermin hadapan kenderaan kami.

“Kami segera beredar dari lokasi walaupun risau mereka akan mengekori kami lagi,” ujar pelakon dan juga pempengaruh itu.

Selepas kejadian yang menimpanya, aktor tinggi lampai itu membuat laporan polis dan menganggap situasi berkenaan sebagai pengajaran dalam hidupnya supaya lebih cepat bertindak.

“Kami pun sudah melakukan laporan polis tentang insiden mengejutkan berkenaan.

“Saya tidak trauma selepas berhadapan situasi cemas cuma anggap sebagai pengajaran buat saya kerana semasa aksi kejar-mengejar saya tidak sempat ambil video sebagai bukti.

“Jika saya terlibat dalam kejadian yang sama, saya akan fikir cara terbaik untuk mengatasi masalah tersebut,” jelasnya yang terlibat dalam drama Kampung Mat Saleh yang bakal disiarkan di TV3 Mei depan.

Semalam, Aiman antara barisan selebriti yang menghadiri majlis TADS 2023 berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI