fbpx

Terminal KB Sentral dijangka siap hujung 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad (tengah) menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Lantikan Pemaju Projek Pembangunan KB Sentral di sebuah hotel di Kota Bharu hari ini. FOTO ROSMIZAN RESDI/KOSMO!

KOTA BHARU – Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) bernilai RM64 juta yang dibina di Mukim Pendek di sini dijangka siap pada hujung 2026.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, projek di kawasan seluas 2.02 hektar yang dibangunkan sebagai Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) itu akan dimulakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, Syarikat Widad melalui syarikat bertujuan khas (SPV) iaitu Innovative City Holdings Sdn. Bhd. akan melaksanakan pembangunan dan operasi KB Sentral.

“Pembangunan projek ini akan dilaksanakan secara penswastaan apabila segala kos tanah dan pembangunan KB Sentral akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pemaju.

“Konsep pembinaan KB Sentral memenuhi ciri-ciri Islamik, mesra alam, teknologi hijau, mesra pejalan kaki dan mesra orang kelainan upaya (OKU),” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Surat Lantikan Pemaju Projek Pembangunan KB Sentral di sebuah hotel di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, KB Sentral juga dilengkapi dengan kemudahan awam seperti tempat letak kereta, pusat konvensyen, hotel dan Direct Factory Outlet (DFO).

Menurutnya, pembangunan KB Sentral seiring dengan pembangunan Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang telah bermula pada tahun 2020 dan dijangka siap pada tahun 2027.

“Kerajaan negeri menaruh harapan dengan pembangunan KB Sentral yang bakal menjadi hub sistem pengangkutan berkualiti kepada rakyat negeri Kelantan.

“Kita juga amat menggalakkan peranan selain penglibatan sektor swasta dalam rancangan pembangunan Bandar Baharu Tunjong di sini terutamanya sektor perumahan dan perniagaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI