fbpx

PM nasihat Muhyiddin tumpukan kes mahkamahnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2023 peringkat Kebangsaan di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI/KOSMO!

IPOH – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dinasihatkan agar memberi tumpuan terhadap kes mahkamah yang dihadapinya daripada membuat tohmahan kepada kepimpinan Kerajaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dakwaan Ahli Parlimen Pagoh itu bahawa pendakwaannya satu bentuk pemangsaan politik terancang telah dijawab oleh Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM).

“Apa lagi dia nak kata, bagi saya dia tumpukan kepada kes mahkamah sajalah.

“Jawab di mahkamah, pertuduhan pun sudah dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2023 Accelerating Change di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu semalam yang menyifatkan pertuduhan terhadapnya adalah satu ‘pertuduhan terancang’ dengan mendakwa keputusan untuk mendakwa beliau sebenarnya dibuat lebih awal oleh pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum siasatan dilengkapkan.

Berikutan itu, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan semalam menegaskan bahawa keputusan untuk mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana orang adalah berdasarkan keterangan dan fakta hasil daripada penyiasatan, dan bukan atas desakan mana-mana pihak atau faktor lain.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI