fbpx

Kerajaan tak peduli tohmahan, tegas tangani ‘perompak’ dana rakyat – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (enam dari kanan) melepaskan ikan hiasan di kolam selepas merasmikan HLN 2023 di Laman Sejahtera, Taman D.R. Seenivasagam, Ipoh hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak peduli dengan tohmahan terhadap kerajaan bahawa tindakan membanteras kegiatan ‘perompak’ mengaut keuntungan menggunakan dana negara bermotifkan politik.

Sebaliknya, menurut beliau, ia merupakan bukti kesungguhan kerajaan dalam memastikan perubahan berlaku dan golongan tersebut tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Tidak boleh kita izinkan dana negara, negeri dan bandar raya diambil secara haram untuk memperkayakan segelintir. Tidak mungkin kita izinkan sesiapa untuk berasa bebas menggondol hak serta dana rakyat dan berasa boleh terlepas.

“Saya nak pastikan hal ini tidak berlaku dan berilah kita kesempatan dalam Kerajaan Perpaduan ini untuk melaksanakan program untuk bersihkan negara daripada segala keterlanjuran perompak-perompak besar.

“Kita tumpu sepenuhnya dalam memelihara kepentingan rakyat,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Landskap Negara 2023 (HLN 2023) di Taman D.R. Seenivasagam di sini hari ini.

Anwar menegaskan, Jemaah Menteri serta barisan Ketua Setiausaha serius dalam memastikan perubahan dapat dilakukan, bahkan beliau percaya ia akan berlaku sekiranya semua jentera kerajaan dan rakyat bersama-sama di semua peringkat.

Dalam pada itu, ketika majlis perasmian HLN 2023, beliau dihadiahkan hibrid baharu bunga orkid yang dinamakan Aranda PMX – Anwar bersempena namanya selaku Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

Bunga tersebut merupakan hasil kacukan antara hibrik orkid komersil Aranda Teknofraft sebagai induk betina dan Aranda Sayan (induk jantan).

Hibrid orkid berwarna kuning-oren terang itu telah didaftarkan dengan Penguatkuasa Pendaftaran Antarabangsa Hibrid Orkid di England. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI