fbpx

Pelajar SMK Sungai Soi dikhuatiri lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba melakukan operasi SAR mangsa yang hilang ketika mandi di Pantai Cempaka, Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi di Pantai Cempaka di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa Nazrul Aimi Shah Kamarul Bahri yang berasal dari Taman Kempadang Perdana dikatakan datang ke pantai berkenaan untuk beriadah bersama empat rakannya.

“Semasa sedang mandi di tepi pantai, mangsa dan rakan-rakan telah dipukul ombak dan dihanyutkan arus ke kawasan yang agak dalam.

“Empat rakan mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai manakala mangsa didapati telah hilang,” katanya di sini hari ini.

Menurut Wan Mohd. Zahari, rakan-rakan mangsa kemudiannya telah meminta bantuan daripada penduduk berhampiran.

Katanya, anggota polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuantan, empat Anggota Pertahanan Awam (APM) Kuantan, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi SAR telah digerakkan serta-merta yang mana penugasan tertumpu kepada rondaan di sepanjang pesisir Pantai Cempaka hingga ke Pantai Sepat.

“Penggunaan bot penyelamat tidak begitu sesuai memandangkan keadaan angin kencang dan ombak tinggi di kawasan pesisir,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI