fbpx

[VIDEO] Saya tidak bersalah dan akan jawab segala pertuduhan di mahkamah- Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin mengadakan sidang akhbar selepas keluar dari Bangunan SPRM sebentar tadi.

PUTRAJAYA-“Saya menegaskan bahawa saya tidak bersalah dan akan jawab segala pertuduhan terhadap di mahkamah,” demikian penegasan diberikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejurus keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di sini malam ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang akhbar ringkas di luar Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 8.20 malam iaitu selepas hampir sembilan jam memberikan keterangan.

“Saya datang pagi tadi untuk membolehkan SPRM merakam percakapan tambahan saya. Saya hadir tanpa paksaan untuk membantu siasatan walaupun pada saya ini satu penindasan politik dan penganiayaan terhadap saya dan Bersatu.

“SPRM membangkitkan dua perkara iaitu Projek JanaWibawa dan rayuan pembatalan cukai oleh seorang tokoh hartawan negara,” katanya.

Jelasnya, Janawibawa ialah projek semasa Covid-19 untuk membangunkan semula ekonomi negara khususnya untuk menyelamatkan kontraktor Bumiputera yang akan jatuh bankrap.

“Sedihnya, ini dijadikan modal politik seolah-olah ini satu skim untuk mencuri wang negara. Itulah sebabnya jumlah yang dituduh berubah-ubah dari RM600 bilion ke RM530 bilion, kemudian turun mendadak ke RM92.5 bilion, turun lagi ke RM4.5 bilion dan akhirnya RM300 juta.

“Menggunakan fitnah ini, SPRM membekukan akaun bank Bersatu. Inilah jahatnya fitnah.

“SPRM seharusnya mengetahui daripada semua keterangan yang diambil bahawa tidak berlaku sebarang salah guna kuasa atau perbuatan merasuah,” tegasnya.

Muhyiddin turut menegaskan, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang.

“Saya bukan pihak yang mempunyai kuasa untuk meluluskan sebarang projek kerajaan. Kuasa melulus adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

“Saya sekadar melaksanakan keputusan Kabinet yang menghendaki Pejabat Perdana Menteri memanjangkan permohonan projek untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan mengikut syarat dan peraturan.

“Saya tidak pernah memberi arahan atau mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI