fbpx

Variasi kopi olahan rasa tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD HAZIQ menunjukkan sebahagian minuman dan pastri terlaris di kafenya.

GABUNGAN butterscotch, espreso ‘shot’ dan krim dalam minuman creme butter latte memberikan keseimbangan rasa pahit, manis serta berlemak.

Lebih melengkapkan rasa, minuman tersebut sesuai dijamah bersama French croissant yang rangup dan rapuh ketika dikunyah.

Kombinasi minuman dan makanan itu merupakan signatur di Pociato Coffee, Kajang, Selangor yang menghidangkan pelbagai jenis kopi bersesuaian dengan selera pelanggan.

Selain creme butter latte, peminat kopi versi moden boleh memilih beberapa seleksi lain seperti caramel macchiato, Spanish latte, French vanilla latte, hazelnut latte, creme brulee latte, toffee nut latte dan butterscotch latte.

Bagi peminat kopi klasik, pilihan seperti cappuccino, latte dan americano sesuai untuk dipesan bersama makanan manis seperti almond croissant, kouign amann serta chocolate croissant.

Biarpun kafe ini dibuka khas buat penggemar kopi, bukan peminat minuman itu masih memiliki varieti pilihan iaitu matcha latte Niko Neko, belgian chocolate earl grey tea classic serta beberapa siri minuman lemonade.

Pemilik Pociato Coffee, Muhammad Haziq Nor Hairur Hazam, 25, berkata, keunikan kafenya terletak pada olahan rasa kopi yang dibancuh dengan menggunakan resipi sendiri.

“Dari segi minuman, kami mengambil inspirasi daripada kafe di Korea Selatan dan China. Kemudian, kami olahkan bancuhan minuman berdasarkan bahan-bahan tempatan.

“Walaupun rasanya sedikit berbeza berbanding dengan yang original, namun keenakannya masih sama dan penerimaan pelanggan sangat memberangsangkan.

“Sebelum letak nama minuman ini ke dalam menu, kami sudah lakukan tinjauan dengan memberikan pelanggan rasa secara percuma untuk mendapatkan maklum balas mereka,” katanya yang baru membuka kafe tersebut pada Disember lalu.

Sebahagian seleksi pastri yang ditawarkan di Pociato Coffee, Kajang, Selangor.

Menariknya di Pociato Coffee, pelbagai aktiviti permainan dalaman disediakan seperti congkak, jenga dan catur untuk menambahkan lagi pengalaman ‘mengopi’ para pelanggan.

Kemudahan surau buat pelanggan Muslim juga disediakan, sekali gus menjadikan kafe tersebut tempat persinggahan sempurna.

Ini bersesuaian dengan konsep kafe itu yang mahu menyediakan ruang ‘melepak’ alaf baharu bagi anak-anak muda di sekitar Kajang dan Bangi dengan tagline, ‘kopi untuk semua’.

Menurut jurutera di Vesstech Synergy Sdn. Bhd. itu, nama Pociato diinspirasi daripada nama kucing jenis domestic short hair miliknya yang berwarna hitam dan putih.

“Saya seorang peminat kucing. Jadi, saya namakan kedai ini berinspirasikan daripada kucing saya. Sebab itu, logo kafe ini ada kucing dan kopi.

“Walaupun kami tidak meletakkan kucing sebagai tarikan kafe ini atas beberapa faktor, namun kami menyediakan pelbagai aktiviti dan kemudahan sesuai untuk pelanggan bersantai bersama kawan-kawan serta keluarga.

“Ini antara sebab ramai pelanggan kami merupakan pengunjung tetap yang terdiri daripada golongan pekerja dan pelajar sekolah,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI