fbpx

Gajah ‘kutip tol’, tahan lori bawa tebu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gajah itu bangun dan bergerak ke tengah jalan raya lantas menghalang laluan lori sebelum mengambil tebu. – Twitter @DoctorAjayita

BANGKOK – Sebuah video tular di laman media sosial memaparkan senario  seekor gajah menahan beberapa buah  lori membawa muatan tebu di sebatang jalan sebelum ‘mencuri’ makanan kegemarannya itu, lapor laman berita NDTV semalam.

Dalam kejadian dipercayai berlaku di Thailand,  seekor gajah pada awalnya dilihat berada di tepi sebatang jalan ketika sebuah lori membawa tebu melalui jalan tersebut.

Gajah itu bingkas bangun dan bergerak ke tengah jalan raya lantas menghalang laluan lori berkenaan.

Ia kemudian mengambil sedikit tebu untuk dimakan sebelum bergerak semula ke tepi jalan dan memberi laluan kepada lori tersebut untuk meneruskan perjalanan.

Tidak terhenti di situ, gajah sama kemudian dirakam menahan beberapa lori lain yang turut membawa muatan tebu, seolah-olah ia mengetahui jalan raya itu sering dilalui oleh kenderaan berat tersebut.

Ia dilihat mengambil sebatang tebu daripada setiap lori yang ditahan sebelum memberi laluan kepada kenderaan-kenderaan itu untuk meneruskan perjalanan.

Video itu menjadi tular dengan ramai yang terhibur melihatkan aksi gajah yang bijak itu.

“Pengutip duit tol,” demikian menurut keterangan pada video tersebut yang dimuat naik seorang pengguna di laman Twitter.

“Gajah itu sebenarnya ‘pemeriksa kualiti’. Ia sebenarnya ‘diupah’ oleh jabatan kawalan kualiti kilang gula untuk memeriksa kandungan gula dalam tebu,” kata seorang netizen sambil berseloroh. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI