fbpx

Sindiket penyeludupan manusia di Kelantan tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PATI terlibat dipercayai menyeludup masuk masuk ke Kelantan menggunakan khidmat ‘transporter’ menerusi sempadan Malaysia- Thailand. FOTO IHSAN JIM

PUTRAJAYA – Taktik sebuah sindiket penyeludupan manusia mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 seorang bagi menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) tumpas apabila seramai 15 orang warga asing ditahan pada 6 Mac lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, penahanan PATI terbabit dibuat menerusi Ops Gelombang 2 yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar Kelantan selepas kejayaan operasi pertama pada Oktober tahun lalu.

“Dalam serbuan sekitar Jeli dan Gua Musang, pasukan operasi berjaya menahan seramai tiga orang lelaki warganegara Malaysia berumur antara 39 hingga 60 tahun yang bertindak sebagai ‘transporter’ bagi sindiket itu.

“Turut ditangkap ialah seramai 15 orang PATI berumur antara 24 hingga 54 tahun terdiri daripada 12 orang lelaki dan tiga orang perempuan warganegara Indonesia dipercayai baru tiba dari negara jiran melintasi Sungai Golok dan kemudian dipindahkan dengan tiga buah kenderaan ke rumah penampungan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, berdasarkan maklumat orang awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi mendapati modus operandi sindiket ialah masuk melalui laluan udara ke Thailand seterusnya menyeludup sempadan Malaysia -Thailand melalui Sungai Golok.

“Dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap Pati untuk masuk ke Malaysia. Kesemua PATI ini kemudian akan dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor untuk bekerja secara tidak sah.

“Bagi PATI wanita pula, mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks,” ujarnya.

Tegasnya, siasatan awal mendapati ‘transporter’ tempatan menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap PATI yang diangkut dari sempadan menaiki kenderaan ditetapkan.

“Semasa serbuan dilakukan terdapat ‘transporter’ dan PATI yang cuba melarikan diri dengan bertindak secara agresif dan memberi ancaman secara fizikal. Namun, tindakan mereka berjaya digagalkan oleh pegawai operasi.

“Sindiket dipercayai aktif sejak Mei 2022 dan menyasarkan PATI berasal dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh serta India yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di Malaysia,” jelasnya.

Menurutnya, berdasarkan anggaran, seramai 160 PATI di bawa masuk oleh sindiket ini dalam tempoh sebulan dan kerajaan dianggarkan mengalami kerugian hasil sebanyak RM1.7 juta dalam bentuk kutipan levi pekerja asing.

Kesemua PATI ditangkap disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Manakala tiga orang lelaki tempatan pula akan dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan. Kesemua tiga buah kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM100,000 akan disita untuk tindakan lanjut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI