fbpx

Lebih 600,000 peniaga kecil berisiko gulung tikar tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENTERI KABINET, Jeremy Hunt melihat longgokan keju semasa mengunjungi pasar makanan dan minuman yang mempromosikan perniagaan kecil Britain di London pada 30 November 2022. – AFP

LONDON – Beratus-ratus ribu perniagaan paling kecil di Britain berisiko gulung tikar tahun ini ketika kos terus meningkat, demikian menurut saluran berita Sky News yang memetik satu laporan kelmarin.

Kebimbangan mengenainya disuarakan oleh hampir seorang dalam setiap lapan pemilik perniagaan mikro di Britain atau menyamai 630,000 perniagaan. Perniagaan mikro merujuk kepada entiti yang menggaji kurang daripada 10 pekerja.

Seorang peniaga kecil berkenaan, Catherine Sweet menjual hasil seni untuk menyara hidupnya. Dia menjual karya sendiri dan milik artis seni lain menerusi laman webnya, BobCat Gallery dan pameran yang diadakan.

Catherine bagaimanapun berkata, penurunan perbelanjaan pengguna dan kenaikan kos sara hidup di Britain kini membebankan perniagaan.

“Saya tahu bahawa perniagaan saya boleh berkembang lima kali ganda jika saya memiliki ruang fizikal (ruang pameran) tetapi saya tidak mempunyai dana untuk itu sekarang,” katanya.

Catherine bukan bersendirian dalam isu tersebut.

Kajian tahunan Venture Forward oleh pembina laman web, GoDaddy mendapati cuma satu perlima pemilik perniagaan mikro di Britain berpuas hati dengan langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Lebih tiga perempat pula menyifatkan krisis kos sara hidup sebagai cabaran terbesar mereka dengan harga tenaga yang melambung tinggi menjadi kembimbangan utama

Menurut Pengurus GoDaddy Britain, Andrew Gradon, perniagaan mikro mewakili 96 peratus daripada keseluruhan perniagaan dalam sektor swasta negara itu.

“Mereka (peniaga kecil) ialah nadi perniagaan di Britain dan mereka ini berada di barisan hadapan yang merasai impak secara langsung krisis kos sara hidup,” katanya.

“Sekitar 42 peratus peniaga mahukan sokongan dalam bentuk insentif cukai. Mereka juga meminta bantuan lebih meluas seperti sokongan teknikal untuk membangunkan perniagaan di samping bantuan strategi digital,” katanya.

Kajian sama menganggarkan bahawa sekiranya 12 peratus perniagaan kecil yang terancam gulung tikar, ekonomi Britain akan mengalami kerugian sebanyak £12 bilion (RM64.57 bilion) . – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI