PETALING JAYA – Bebanan kewangan yang meruncing selain harga tiket penerbangan yang terlalu tinggi menyebabkan ramai golongan perantau dari Sabah dan Sarawak terpaksa melupakan hasrat untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Paling terkesan adalah mereka yang sudah berkeluarga apabila perlu berbelanja besar termasuk untuk membeli tiket mahal yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat penerbangan.
Tinjauan Kosmo! di laman sesawang syarikat penerbangan komersial baru-baru ini mendapati, tambang penerbangan ke Sabah dan Sarawak meningkat lebih 400 peratus menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri pada April ini.
Sebagai contoh, harga yang ditawarkan pada 19 April 2023, iaitu tiga hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri bagi perjalanan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu adalah sekitar RM445 hingga RM700 sehala, manakala penerbangan ke Tawau pula mampu mencecah RM2,000 sehala.
Ini bermakna, sebuah keluarga terdiri daripada empat beranak yang bercadang untuk pulang beraya di Sabah perlu berbelanja antara RM6,000 hingga RM8,000 merangkumi harga tiket penerbangan (RM3,600 – RM5,600), pakaian dan kasut (RM1,000 – RM1,600), kos perjalanan (RM500) dan duit raya (RM500 – RM1,000).
Seorang perantau, Roshidi Abdul Manaf, 42, berkata, tahun ini merupakan tahun keempat dia dan keluarga tidak pulang beraya di Sabah disebabkan tidak mampu menyediakan sekurang-kurangnya RM3,600 bagi kos penerbangan pergi dan balik ke Kota Kinabalu.

“Kami empat beranak dan paling kurang tiket mahu balik Sabah adalah sekitar RM900 seorang untuk perjalanan pergi dan balik. Setiap tahun harga pada musim perayaan memang tinggi dan sebab itu saya tidak pernah balik beraya sejak tahun 2020.
“Bukan tak nak beli awal, tapi banyak lagi komitmen lain perlu diutamakan termasuklah bebanan kos sara hidup yang masih tinggi selain harga barangan mentah yang mahal.
“Setiap tahun kami warga Sabah akan merungut dan merayu untuk kerajaan bantu kami, tetapi langsung tiada perubahan,” kata pekerja swasta itu ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, sebagai tradisi sejak tiga tahun lalu, dia dan keluarga akan meraikan perayaan Hari Raya Aidilfitri bersama saudara mereka yang tinggal di Tampin, Negeri Sembilan.
“Saya dan isteri memang berasal dari Sandakan, Sabah. Kami pindah ke Semenanjung disebabkan saya bekerja di sini, jadi bila tak dapat balik Sabah, kami akan berkumpul dengan saudara lain di sini,” kongsinya.
Bagi Azmidah Linggi, 38, pula, antara faktor lain mengapa mereka memilih untuk tidak pulang beraya pada tahun ini adalah disebabkan komitmen kewangan yang terhad bagi keperluan lain termasuk untuk belanja persekolahan anak-anak.
Katanya, untuk tahun ini, perancangan balik ke Tambunan terpaksa dibatalkan ekoran wang simpanan yang ada perlu digunakan untuk membeli pelbagai keperluan persekolahan bagi tiga anaknya.
“Anak kembar saya akan masuk tingkatan 1, jadi kebanyakan kelengkapan persekolahan mereka perlu dibeli serba baharu, manakala anak sulung pula akan memasuki tingkatan 5.
“Atas sebab itu kami perlu berjimat dan perancangan balik ke kampung juga terpaksa dibatalkan. Lagi pun tahun ini ramai terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Untuk kami lima beranak, kos yang perlu dibelanjakan untuk membeli tiket adalah sekitar RM6,000. Itu belum masuk kos perbelanjaan lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, situasi sama turut dialami kalangan pelajar universiti dari Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung.
Abang Azizi Yamin Abang Johari, 25, berkata, sepanjang empat tahun melanjutkan pelajaran di sebuah universiti awam di sini, dia langsung tidak berkesempatan untuk pulang beraya bersama keluarga di Sarawak disebabkan tidak cukup wang untuk membeli tiket kapal terbang.
“Nama pun pelajar, sambung belajar pun guna PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), keluarga pun bukan orang senang, jadi memang tak cukup duit untuk balik raya setiap tahun. Kalau balik pun, setahun sekali, itupun ketika cuti semester,” katanya.
Justeru, Abang Azizi berpendapat bahawa kerajaan bersama syarikat penerbangan perlu mempertimbangkan untuk menetapkan kadar berasingan bagi golongan pelajar agar dapat meringkankan beban mereka untuk membeli tiket kapal terbang.
Jelasnya, tidak semua pelajar daripada keluarga berkemampuan dan sewajarnya syarikat penerbangan memberi diskaun khas buat mereka.














