fbpx

Prestasi penjawat awam tangani banjir Johor membanggakan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Mac Tahun 2023 di Putrajaya, hari ini. -Foto FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji dan mengakui berbangga terhadap prestasi ditunjukkan barisan agensi penjawat awam dalam menangani isu bencana banjir di Johor yang disifatkan sebagai pantas dan dikoordinasikan dengan baik.

Anwar berkata, ketika melakukan tinjauan di lokasi dilanda banjir di Johor semalam, beliau dapat menyaksikan sendiri bagaimana jentera-jentera kerajaan sama ada daripada peringkat persekutuan juga negeri digerakkan dengan pantas dan lebih baik.

“Terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turun padang termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali di atas laporan-laporan yang dikeluarkan secara harian.

“Namun saya lebih melihat kepada tindakan barisan penjawat awam itu sendiri yang tidak perlu menunggu arahan untuk bertindak. Dia tahu banjir, terus ambil tindakan malah ketika saya tanya perkembangan, mereka maklumkan tindakan sedang diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Mac Tahun 2023 di sini hari ini yang disertai oleh 1,650 warga penjawat awam daripada 33 jabatan kerajaan.

Menurut Anwar, situasi itu jelas menunjukkan bahawa terdapat kesedaran tinggi terutamanya dalam kalangan penjawat awam yang melaksanakan tugas dengan pantas lebih-lebih lagi apabila mangsa banjir sudah tentu tidak mampu menunggu berhari-hari untuk mendapatkan bantuan.

“Saya juga dimaklumkan bantuan seperti makanan dan minuman juga telah disalurkan dalam tempoh setengah hari, malah dikawasan yang terputus jaringan pengangkutan sekurang-kurangnya bawah 24 jam.

“Sehubungan itu, saya ingin gunakan kesempatan ini untuk semua memaklumkan kepada penjawat awam di negeri-negeri yang berhadapan banjir bahawa saya amat bersyukur dan bangga dengan prestasi anda semua,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau dimaklumkan bahawa terdapat kemungkinan bencana banjir akan turut melanda Sarawak dalam masa terdekat dan memohon doa daripada semua pihak agar ia dapat dihindari.

“Bagaimanapun, saya mahukan usaha dan tindakan sama seperti yang telah saya saksikan sendiri di Johor. Mereka betul-betul telah melakukan yang terbaik dan ini termasuklah pasukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Untuk tindakan di Sarawak, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan selaraskan namun jika ada apa-apa masalah, itu salah dia lah,” katanya berseloroh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI