fbpx

Kerajaan kaji keselamatan penggunaan media sosial di tempat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Fahmi ketika bercakap kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital Bil. 2/2023 di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Cyber Security Malaysia (CSM) diminta untuk meneliti beberapa aspek penting berhubung isu keselamatan melibatkan penggunaan beberapa aplikasi media sosial di pejabat dan agensi-agensi kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, beliau prihatin tentang isu penggunaan aplikasi seperti TikTok, Instagram, Facebook di tempat kerja yang secara tidak langsung berisiko mendedahkan perkara sensitif atau rahsia besar yang dibincangkan.

“Ini kerana kita tidak mahu berlaku apa-apa pelanggaran terhadap Akta Rahsia rasmi contohnya. Ada kalanya bila penjawat awam sedang bertugas, kita berdepan dengan keadaan yang mana dokumen yang kita pegang mungkin bersifat terkelas, jadi aspek keselamatan itu sangat penting.

“Kemudian, berkait lokasi itu dirakam, adakah ia dibenarkan atau tidak? Ini adalah antara beberapa perkara yang masih kita perlu teliti,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital Bil. 2/2023 di sini hari ini.

Menurut Ahmad Fahmi, beliau percaya dalam masa terdekat selepas pihak CSM membuat penelitian dan mengadakan perbincangan di peringkat kementerian, ia akan diperluaskan ke kementerian-kementerian dan agensi lain dalam usaha menuju ke arah satu rangka kawal selia.

“Rangka kawal selia atau garis panduan ini adalah bertujuan untuk menjamin keselamatan aplikasi dan peranti-peranti yang diguna pakai oleh penjawat awam terutamanya anggota pentadbiran.

“Bagaimanapun, kita masih di tahap penelitian yang akan diikuti oleh beberapa siri perbincangan dan belum lagi di tahap untuk membuat apa-apa keputusan,”katanya.

Ujar beliau, proses tersebut masih panjang namun pihaknya mengambil maklum bahawa di sesetengah negara ada yang telah membuat keputusan dan kementeriannya telah diminta untuk mengkaji asas kepada keputusan yang dibuat itu.

“Kajian tersebut bukanlah untuk meniru tetapi agar ia lebih difahami sebab musabab pelaksanaannya dan sekiranya ada aspek yang terpakai dalam konteks Malaysia, maka kita perlu ambil tahu dan menyediakan opsyen-opsyen yang bersesuaian kelak,”jelas beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI