fbpx

Guru JAIM bakal terima kenaikan ketara elaun bulanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHE SUKRI ketika ditemui pemberita pada Majlis Amanat bersama guru tadika JAIM di Jalan Bukit Palah, Melaka, hari ini. -Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Seramai 375 guru tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan menerima kenaikan elaun bulanan dalam masa terdekat di bawah peruntukan kerajaan negeri.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pihaknya sedang melakukan persiapan akhir sebelum cadangan jumlah kenaikan tersebut dihantar kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

“Berita baik untuk para guru JAIM ini, kita sedang membuat persiapan akhir mengenai kenaikan elaun sebelum dihantar kepada kerajaan negeri.

“Mengenai jumlah kenaikan biarlah Ketua Menteri akan umumkan, apa yang boleh saya katakan ia kenaikan ketara, bukan gaji pokok tetapi elaun,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pemberita pada program Majlis Amanat bersama guru tadika JAIM di Masjid Al-Azim di Jalan Bukit Palah, di sini, hari ini.

Jelasnya, ketika ini pihak JAIM mengguna pakai sistem skim khas seperti mana diamalkan bagi guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dengan bayaran kira-kira RM1,600 sebulan.

“Jadi elaun khas ini adalah amaun tambahan bagi skim khas yang diberikan kepada guru JAIM.

“Memang kalau boleh kita mahu kelulusan ini dibuat dalam masa terdekat sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri, namun ia tetap bergantung kepada keputusan kerajaan negeri,” katanya.

Tambahnya, JAIM mempunyai 71 buah tadika di seluruh negeri dengan jumlah murid seramai 3,479 murid. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI