fbpx
Gambar hiasan.

Banjir: Lebih 13,000 keluarga di lima negeri terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Seramai 46,230 mangsa daripada 13,362 keluarga telah dikenal pasti terkesan akibat bencana banjir yang melanda lima buah negeri di seluruh negara sejak beberapa hari lalu.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, setakat pukul 10 pagi tadi, sebanyak 299 buah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di negeri-negeri yang terkesan.

“Johor mencatatkan jumlah PPS tertinggi dengan 266 PPS, diikuti Pahang (23 PPS), Melaka (lima PPS), Selangor (dua PPS) dan Negeri Sembilan (tiga PPS).

“Petugas-petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di semua kawasan yang terlibat telah digerakkan untuk menguruskan mangsa-mangsa bencana banjir bersama agensi-agensi lain mengikut keperluan dan peranan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kementerian tersebut, semua barang keperluan tambahan melalui Perolehan Darurat Negeri dan Persekutuan dengan nilai RM1.74 juta juga telah sempurna diselesaikan.

“Agihan telah dilaksanakan sejak Sabtu lalu dan dilaporkan lebih 70 peratus barangan diterima telah diagihkan ke daerah-daerah khususnya di Segamat dan Batu Pahat, Johor.

“Bilik Gerakan JKM Johor boleh dihubungi melalui 07-228 1453. Bilik Gerakan JKM di negeri-negeri lain akan diaktifkan mengikut keperluan dan keadaan banjir semasa. Orang ramai juga boleh menghubungi Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam sekiranya perlu,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, maklumat terkini mengenai PPS di seluruh negara juga boleh diakses oleh orang ramai melalui Aplikasi InfoBencanaJKM 2.0 yang boleh dimuat turun melalui Apps Store dan Play Store.

“Semua syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu dimohon agar dapat menghulurkan bantuan dan sumbangan yang amat diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir.

“Semua sumbangan boleh disalurkan terus kepada nombor akaun 160140010004801 (Alliance
Bank Berhad, Yayasan Kebajikan Negara),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN