fbpx

Rombakan mentor Akademi Qurra’ tak ganggu fokus peserta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROGRAM Akademi Qurra' minggu keempat menyaksikan berlakunya proses pertukaran mentor.

PETALING JAYA – Pertukaran mentor yang berlaku dalam program siaran TV AlHijrah, Akademi Qurra’ pada minggu keempat lalu dilihat sebagai salah satu cabaran pertandingan, namun tidak memberi sebarang implikasi terhadap peserta yang bertanding.

Menurut Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar, peserta yang terlibat dalam proses pertukaran terbuka dengan rombakan yang dilakukan produksi.

Zulkarnaen berkata demikian bagi mengulas lanjut mengenai kekecewaan Mudarrisah Soufizah yang mempersolakan tindakan produksi program menukar anak didiknya.

“Tiada peserta yang kecewa dengan pertukaran tenaga pengajar, cuma mereka akui ada perbezaan mengenai kaedah mengajar oleh mudarris. Mungkin kalau lihat Ustazah Soufizah, dia mengajar lebih terperinci kerana dia juga adalah guru.

“Berbeza yang lain ada yang mengajar lebih santai. Tapi, daripada maklum balas yang diterima, semuanya baik dan okey saja. Kami mahukan mereka dapat seimbangkan dan sama dari segi kaedah pembelajaran,” katanya.

Susulan rombakan yang berlaku juga katanya, pihaknya turut bersetuju program yang memasuki minggu kelima siarannya pada Sabtu lalu tidak membuat penyingkiran dalam memberi peluang kepada peserta untuk menyesuaikan pembelajaran dengan mentor atau mudarris dan mudarrisah baharu.

“Kami tetapkan untuk tiada penyingkiran disebabkan ada pertukaran di antara tenaga pengajar dan peserta. Jadi, kami mahu beri sedikit masa untuk tilmiz dan mudarris menyesuaikan diri.

“Selain itu juri tetap Ustaz Tarmizi yang dihubungi produksi ketika di Tanah Suci, turut berharap agar tiada penyingkiran dan meminta menunggu sehingga dia balik pada minggu depan. Ini juga menjadi sebab mengapa minggu kelima ini tiada penyingkiran,” katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan dan peningkatan setiap peserta susulan tindakan mengejut itu, jelas Zulkarnaen, pada tahap ini tilmiz dan tilmizah juga sudah mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai persaingan dan kekuatan diri masing-masing.

“Dari segi peningkatan, memang ada perubahan yang berlaku dari minggu pertama hingga kelima. Kalau lihat kedudukan markah dan persembahan memang berubah-ubah, sekali gus kedudukan teratas itu pada setiap minggu memang tidak dapat dijangka.

“Melalui keputusan ini kita boleh lihat, peserta sudah mula memberi persaingan dan tak pernah dalam satu episod mempunyai peserta yang berada di kedudukan tiga teratas adalah orang sama. Saya nampak minggu-minggu kebelakangan ini ada perserta yang sudah memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Memilih tema Perwira Negara pada minggu ini, Tilmiz Zuhdi menjadi perhatian apabila berada di kedudukan teratas, diikuti dengan Tilmizah Nooraini dan ketiga, Tilmiz Akasyah.

Sementara itu, Tilmiz Zuhdi juga mendapat Anugerah Alunan Terindah.

Program Akademi Qurra’ yang dihoskan Fakhrul UNIC, disiarkan setiap Sabtu, pukul 9 malam dan diadili sepenuhnya oleh juri tetap iaitu Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Qari Muhammad Qayyim Nizar dan juri jemputan berbeza pada setiap minggu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI