fbpx

Mohd. Zuki dahului 22 penerima darjah kebesaran, pingat Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zuki mengetuai senarai 22 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Di Istana Iskandariah Kuala Kangsar. FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

KUALA KANGSAR – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali hari ini mengetuai senarai 22 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Mohd. Zuki, 61, dikurniakan Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena sambutan Ulang Tahun Kepute­raan Sultan Nazrin yang disambut pada 4 November lalu.

Pada istiadat pengurniaan sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dikurniakan Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri di samping Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk kepada Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Isham Ishak.

Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gela­r­an Datuk kepada 14 tokoh terdiri daripada Ketua Hakim Syarie Mahkamah Utama Syariah Perak, Ab. Rahman Thobroni Mohd. Mansor; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke London, Kementerian Luar Negeri, Datuk Zakri Jaafar; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Rosli Isa; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Anis Rizana Mohd. Zainudin dan Ketua Pengarah Arkib Negara, Jaafar Sidek Abdul Rahman.

Penerima lain yang menerima DPMP ialah Pengarah Pejabat Pembangunan Perak, Shamshuzaman Sulaiman; Pengarah Kanan Cawangan Pengurusan Aset Bersepadu Jabatan Kerja Raya, Ir. Zulkipli Nasri; Pakar Perunding Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr. Ker Hong Bee dan Ketua Jabatan Bedah Kardiothorasik Institut Jantung Negara, Dr. Alwi Mohamed Yunus.

Lain-lain penerima DPMP ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd. Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Universiti Sunway, Dr. Lee Fuh Yen; Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Maritime Terminal Sdn. Bhd., Mubarak Ali Gulam Rasul dan Yang Dipertua Persatuan Eurasian Selangor dan Wilayah, Shiela Eleanor De Costa.

Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Allahyarham Profesor Datin Dr Mehrun Siraj menerima secara anumerta darjah DPMP yang diwakili suaminya, Datuk Sulaiman Abdullah.

Sultan Nazrin juga berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Dato’ Pahlawan kepada lima penerima.

Mereka ialah Grup Jurutera Medan Markas Pemerintahan, Medan Barat Tentera Darat, Mejar Jeneral Abdul Hamid Mohd. Isa; Penasihat Pertahanan ATM, Brigedier Jeneral Safwan@Asri Ismail; Kor Kesihatan Diraja Markas Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Dr Mohd. Ghazalli Mohd. Taha; Inspektor Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Muda Abd. Halim Shaari dan Ketua Cawangan Khas PDRM Perak, Senior Asisten Komisioner Shazeli Kahar.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI