fbpx

Koridor rahsia ditemui dalam Piramid Giza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Imej sebuah koridor dalam piramid Cheops dibentangkan pada sidang akhbar di Giza kelmarin. - Kementerian Pelancongan Mesir

KAHERAH – Sekumpulan saintis menemui satu laluan tersembunyi di dalam Piramid Giza ketika menjalankan misi yang menjadi sebahagian daripada projek penyelidikan antarabangsa selama tujuh tahun.

Laluan itu berukuran sembilan meter panjang dan lebih dua meter lebar, kata Kementerian Pelancongan dan Ankuiti Mesir dalam satu kenyataan. 

Menterinya, Ahmed Issa memberitahu pemberita di tapak purba yang turut dikenali sebagai piramid Khufu atau Cheops itu bahawa ‘koridor beratap pelana’ dengan siling berbentuk segi tiga itu ditemui di bahagian utara Piramid Besar Raja Khufu.

Penemuan itu merupakan sebahagian daripada projek ScanPyramids yang dilancarkan pada 2015 menerusi kerjasama antara universiti-universiti utama di Perancis, Jerman, Kanada dan Jepun dengan sekumpulan pakar Mesir.

Seorang ahli arkeologi, Zahi Hawass yang merupakan bekas menteri Pelancongan dan Ankuiti Mesir telah mengetuai jawatankuasa yang menyelia projek itu. Mereka menggunakan teknologi canggih untuk memvisualisasikan bahagian tersembunyi di dalam piramid tanpa perlu menggalinya.

Teknologi itu merupakan gabungan termografi inframerah, pengimejan radiografi muon dan pembinaan semula tiga dimensi (3D). Kesemua teknik itu dikatakan tidak invasif dan tidak merosakkan.

Hawass berkata, terowong itu berkemungkinan besar melindungi sesuatu sambil menambah, ia mungkin melindungi ruang pengebumian sebenar Raja Khufu.

Piramid Besar Giza yang terbesar di bandar itu berukuran setinggi 146 meter dan satu-satunya struktur yang masih kekal bagi satu daripada tujuh keajaiban dunia itu.

Ia dibina kira-kira 4,500 tahun lalu dan hanya diketahui mempunyai tiga bilik. Seperti piramid lain di Mesir, Piramid Besar Giza berfungsi sebagai makam Firaun. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN