DIBERI susu, tetapi dibalas pula dengan tuba.
Itulah perumpamaan yang boleh digambarkan terhadap seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Afnan.
Afnan menjelaskan, dia mencurahkah sepenuh kasih sayang dan wang ringgit buat isteri tercinta.
Namun, apa yang dia dapat adalah sebuah kecurangan.
“Saya langsung tidak menyangka akan diperlakukan sedemikian rupa.
“Isteri saya telah berlaku curang di belakang saya dengan menjalinkan hubungan dengan rakan sekerjanya,” ujar lelaki berusia pertengahan 30-an tersebut.
Ujar Afnan, dia dan isterinya melangsungkan perkahwinan atas dasar cinta antara satu sama lain.
Biarpun mereka telah berkahwin lebih tujuh tahun, tetapi masih belum dikurniakan cahaya mata.
Kehidupan mereka sangat bahagia sepanjang masa, sehinggalah isterinya bertukar tempat kerja.
“Di tempat kerja baharu, dia telah berkenalan dengan rakan sekerjanya dan menjalinkan hubungan dalam diam.
“Malah, hubungan mereka ini langsung tidak diketahui oleh rakan sekerja yang lain,” jelasnya.
Dalam pada itu, Afnan berkata, isterinya ada meminta kebenarannya untuk pergi bercuti bersama teman-temannya di sebuah pulau peranginan di Thailand.
Pada mulanya, Afnan ingin bersama mengikut isterinya pergi bercuti memandangkan mereka sudah lama tidak berbuat demikian.
Bagaimanapun, isterinya bertegas tidak membenarkannya turut serta kerana percutian itu hanya disertai oleh rakan-rakan perempuan.
“Dia beritahu saya, rakan-rakan perempuan di tempat kerjanya yang menganjurkan percutian itu.
“Tanpa sebarang curiga saya membenarkannya pergi dan turut memberikan wang belanja kepadanya,” luah Afnan.
Bagaimanapun, Afnan dapati isterinya langsung tidak memuat naik sebarang gambar percutian dalam media sosial.
Sebelum ini, dia mengetahui bahawa isterinya itu gemar memuat naik gambar ke media sosial setiap kali pergi bercuti.
“Dia ada hantar gambar sekeping dua kepada saya ketika di sana. Semuanya gambar berseorangan.
“Saya ada bertanya kepadanya sebab tidak memuat naik gambar ke media sosial.

– Gambar hiasan
“Dia hanya jawab, kawan-kawannya tidak pandai mengambil gambar dan semuanya tidak cantik untuk diletakkan di media sosial,” jelasnya.
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.
Itulah nasib yang berlaku kepada isteri Afnan apabila kecurangannya akhirnya terdedah setelah pulang daripada percutian tersebut.
Semuanya terdedah setelah Afnan melihat gambar kemesraan isterinya bersama lelaki lain di dalam telefon pintar.
“Isteri saya tidak meletakkan sebarang kata laluan dan saya boleh membuka telefon pintarnya sepanjang masa.
“Ketika saya membuka telefon pintar miliknya, saya melihat ada satu aplikasi penyimpanan gambar yang sebelum ini saya tidak pernah lihat di dalam telefon pintarnya.
“Saya rasa curiga dan membuka aplikasi tersebut.
“Saya terkejut melihat koleksi gambar isteri bersama seorang lelaki yang kelihatan begitu mesra,” katanya.
Tambahnya, dia juga melihat gambar-gambar isterinya bersama lelaki itu di lokasi percutian di Thailand.
Bukan itu saja, Afnan juga terjumpa gambar isterinya berdua-duaan dengan lelaki lain di dalam hotel.
Disebabkan itu, Afnan hilang arah dan dia terus menunjukkan gambar-gambar tersebut kepada isterinya.
Isterinya tidak dapat mengeluarkan sebarang perkataan dan hanya menangis memohon maaf kepada Afnan terhadap kecurangannya itu.
“Pada waktu itu, saya hilang pertimbangan.
“Dalam keadaan marah, saya telah melafazkan talak kepada isteri.
“Isteri saya memohon maaf dan meminta agar dia diberi peluang kedua.
“Namun, apabila mengenangkan kembali gambar kemesraannya bersama lelaki itu, saya tidak dapat memaafkannya,” terang Afnan.
Afnan akhirnya nekad tidak memberi peluang kedua kepada isterinya. Akhirnya, mereka sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di Lembah Klang.














