TAMPIL berhijab, Hannah Delisha mengakui tidak boleh mengelak daripada melakonkan babak bersentuhan dengan lelaki bukan mahram atas tuntutan kerjaya sebagai pelakon.
Mengambil keputusan kembali mentaati fitrah apabila mula mengenakan hijab sejak tiga tahun lalu merupakan satu keputusan besar buat pelakon jelita, Hannah Delisha.
Indahnya, penghijrahan pelakon dengan nama lengkap Hannah Adlina Blackburne Birch itu diputuskan dalam sekelip mata tanpa isyarat awal.
Meskipun imejnya kini tidak lagi seperti dahulu, rentak karier seninya sebagai seorang pelakon masih ‘rancak’ dengan dihujani banyak tawaran.
Rezeki tidak putus-putus memanjatkan lagi rasa syukur pelakon kelahiran Singapura itu apabila masih laris menjadi pilihan pengarah dan juga produser untuk menghiasi televisyen.
Bagaimanapun, wanita berusia 27 tahun itu terpaksa akur, kerjayanya sebagai pelakon menuntut pengorbanan. Dia tidak terlepas daripada terbabit dalam adegan ‘tidak manis’ seperti bersentuhan dengan pelakon lelaki bukan mahram.
Sedar apa yang dilakukan itu salah dan bertentangan dengan ajaran agama Islam, Hannah mengakui terpaksa meneruskan tuntutan skrip demi meraih rezeki dalam bidang seni.

Mengaku salah
Ketika ditemui HibGlam baru-baru ini, Hannah berkata, walaupun sudah menutup aurat (berhijab) sepenuhnya, namun kerjaya sebagai pelakon menuntut dirinya melanggar batas yang sepatutnya dielakkan.
“Saya tahu apa yang saya buat, iaitu bersentuhan dengan lelaki ketika berlakon adalah salah. Saya tahu hukumnya, tapi ini adalah kerja saya (berlakon),” kata Hannah.
Bukan cuba menegakkan benang yang basah, namun pelakon berhidung mancung itu tidak dapat mengelak perbuatan tersebut demi tugasan yang diterima.
Kata Hannah, dia hanya menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon, iaitu menjayakan watak yang diamanahkan kepadanya.
“Sangat susah untuk saya mengelak daripada bersentuhan. Saya hanya jalankan tanggungjawab saya sebagai pelakon untuk jayakan satu-satu watak yang diberikan,” katanya.
Terbaharu, Hannah bakal muncul dengan sebuah drama berjudul Andai Itu Takdirnya memegang watak sebagai Aleya, seorang isteri yang dianiaya suami, lakonan Shukri Yahaya.
Dalam drama tersebut terdapat banyak adegan menyaksikan dirinya dipukul, sekali gus bersentuhan dengan Shukri.
“Drama Andai Itu Takdirnya memerlukan saya dipukul.
“Sangat susah untuk saya mengelak daripada bersentuhan dengan pelakon lelaki.
“Walaupun apa yang saya lakukan itu salah, tapi inilah kerja saya,” jelasnya.
Hannah bagaimanapun akan terlebih dahulu meminta keizinan dan kebenaran daripada pelakon lelaki lain jika memerlukan adegan berpegangan, supaya kedua-dua pihak berasa selesa.
“Kalau ada adegan bersentuhan dengan pelakon lelaki lain, saya akan tanya dahulu sama ada mereka selesa atau tidak. Baru saya akan lakukan,” jelas Hannah.

Inspirasi Puteri Sarah
Bercakap tentang drama Andai Itu Takdirnya yang bakal menemui penonton pada 6 Mac menerusi saluran Astro Ria, Hannah menyahut cabaran pengarah Jamal Khan untuk memegang watak berat sebagai Aleya, seorang wanita juga isteri yang dikasari suami.
Biarpun diberikan tawaran saat akhir bagi menggantikan pelakon asal, Nad Zainal, Hannah tidak teragak-agak untuk memikul cabaran menjayakan drama 60 episod berkenaan.
“Memang mencabar, lagi-lagi saya diberi tawaran lima hari menjelang hari penggambaran.
“Proses penggambaran drama ini akan berlanjutan sehingga Ramadan nanti.
“Saya pula kalau boleh tidak mahu bekerja ketika bulan puasa.
“Sebelum ini saya pernah terlibat dengan penggambaran drama sewaktu Ramadan. Memang memenatkan dan ganggu ibadah puasa.
“Nikmat puasa itu tidak dapat dirasai. Tapi nak buat macam mana, sudah rezeki saya dan terima sahajalah,” katanya.
Untuk membawakan watak Aleya, Hannah sebenarnya mendapat tunjuk ajar dan inspirasi daripada pelakon Puteri Sarah yang turut terlibat dalam drama tersebut.
Kata Hannah, Sarah mengakui karakter yang dibawakannya dalam drama Andai Itu Takdirnya tidak ubah seperti apa yang dialaminya sekarang.
“Puteri Sarah ada juga berkongsi perasaan apa yang dialaminya memandangkan watak saya mirip seperti pengalamannya.
“Jadi saya ambil kisah Puteri Sarah untuk diserapkan dalam watak Aleya,” kata Hannah.
Sebagai seorang wanita dan juga isteri, Hannah turut terkesan apabila mengetahui ada wanita menjadi mangsa kezaliman suami.
Pelakon bertubuh kecil molek itu sekeras-kerasnya mengecam tindakan lelaki yang disifatkan sebagai dayus kerana mengasari wanita, lebih-lebih lagi jika menyebabkan kesakitan fizikal.
“Kalau saya berdepan dengan perkara sama seperti Aleya, sudah lama saya ambil keputusan untuk tinggalkan hubungan ini (minta cerai),” katanya.

Zuriat
Menyentuh tentang kehidupan rumah tangganya bersama suami, Imam Shah, Hannah buat masa ini belum terfikir untuk menimang cahaya mata walaupun sudah tiga tahun bergelar isteri.
Bukan mahu menolak rezeki, Hannah sejujurnya belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu yang memerlukan pengorbanan dan komitmen penuh demi menjaga cahaya mata.
“Untuk memiliki anak memerlukan tanggungjawab yang sangat besar.
“Jaga anak bukan seperti menjaga anak patung atau bela kucing.
“Menjaga kucing pun memerlukan tanggungjawab, apa lagi anak. Apabila sudah bersedia, insya-Allah baru saya akan merancang untuk memiliki zuriat.
“Tapi apa-apa pun semuanya berbalik juga pada keizinan Allah SWT,” ujar Hannah mengakhiri perbualan.















