ROMPIN- Tanda-tanya mengenai kehilangan seorang warga emas sejak Rabu lalu terjawab apabila mangsa ditemui lemas dalam keretanya di ladang kelapa sawit di Jalan Utama Felda Selancar 2 berhampiran Sekolah Menengah Perwira Jaya, di sini.
Mangsa, Abdullah Satar, 73, ditemui di dalam kereta jenis Proton Iswara yang dipercayai dihanyutkan air dalam kejadian banjir yang melanda Felda Selancar 2.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd. Azahari Mukhtar berkata, mangsa yang merupakan peneroka di Felda Selancar 2 ditemui pada pukul 6.40 petang semalam selepas banjir surut.
“Berdasarkan siasatan awal, keluarganya mendakwa mangsa hilang selepas keluar rumah sejak Rabu lalu dan gagal dihubungi menyebabkan mereka mencarinya.
“Anak mangsa mendakwa dihubungi rakannya yang memaklumkan kereta Proton Iswara mangsa dijumpai dalam ladang dengan lelaki itu berada di dalamnya,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azahari, mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk dibedah siasat. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE














