fbpx

Nasib golongan M40 yang sentiasa ‘terpinggir’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

PEMBENTANGAN Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari lalu dilihat sangat membantu terutamanya bagi golongan miskin tegar, B40, belia dan penjawat awam.

Banyak inisiatif yang disediakan antaranya isi rumah kurang RM2,500 layak menerima sumbangan sehingga RM2,500 bergantung kepada jumlah anak, tambahan RM600 (bakul makanan dan baucar kepada isi rumah penerima Sumbangan Tunai Rahmah termiskin berdasarkan maklumat e-Kasih.

Selain itu, bagi penjawat awam pula, mereka akan menikmati RM700 bagi Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak, pesara kerajaan akan terima RM350 sebagai ‘bonus’ sempena Aidilfitri.

Untuk belia pula, RM200 kredit e-tunai untuk bagi yang berusia 18-20 tahun dan tidak terkecuali golongan pesawah yang menerima RM200 sebulan selama 3 bulan setiap musim dan pekebun kecil getah menerima RM800 sebulan selama 4 bulan.

Terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan yang memahami kesusahan dan keperitan golongan sasar demi kelangsungan hidup.

Namun, sebagai golongan pertengahan (M40), kebanyakan mereka terkilan kerana setiap kali pembentangan belanjawan tidak kiralah siapa yang meme­rintah, pasti akan terasa ‘dipinggirkan’.

Tidak banyak inisiatif yang dianggap sebagai ‘bantuan’ kepada mereka berbanding golongan sasar yang menerima inisiatif seperti layanan seorang ayah kepada ‘anak emasnya’.

Paling melegakan mungkin hanyalah pelepasan cukai, manakala inisiatif lain hanya mampu ‘melopong’.

Bukan niat golongan M40 untuk iri hati dengan inisiatif ber­kenaan, tetapi sebagai pembayar cukai antara paling ramai kepada kerajaan, tolonglah bagi sedikit ‘hadiah’ sebagai tanda terima kasih kerajaan kepada sumbangan cukai kami.

Tidak semua M40 ini gajinya banyak, kadang-kadang beza hanya ratus, puluh atau ringgit sahaja dengan B40 dan kemungkinan mereka lebih ramai tanggungnya berbanding B40.

Mungkin juga keadaan M40 di Kuala Lumpur atau bandar-bandar besar lain lebih ‘susah’ berbanding M40 di Kelantan, Kedah, Terengganu atau negeri-­negeri lain yang kos sara hidup­nya lebih rendah.

Ukuran tahap gaji, bilangan tanggungan serta demografi kawasan perlu dikaji semula oleh dalam mengkelaskan kumpulan miskin tegar, B40 dan T20.

Seperti perkongsian oleh pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali yang mahu kerajaan menstrukturkan se­mula cara pemberian subsidi dan bantuan.

Menurutnya, perbelanjaan subsidi dilakukan kerajaan ketika ini dilihat tidak mampan dan berpotensi menggugat kedudukan fiskal kerajaan.

“Tidak dapat dinafikan kerajaan wajar memberi perhatian lebih kepada golongan B40, namun dalam usaha memastikan subsidi hanya dinikmati oleh golongan yang layak, janganlah sampai meminggirkan golongan M40.

“Dengan kenaikan kos sara hidup yang begitu drastik, M40 juga merupakan golongan yang turut terkesan dan memerlukan bantuan.

“Usah dinilai menerusi jumlah pendapatan atau slip gaji kerana realitinya kumpulan M40 ini memiliki komitmen yang tinggi dalam perbelanjaan harian dan hutang pinjaman yang kadang kalanya menjadikan kedudukan mereka lebih teruk berbanding B40,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI