fbpx

Dua lelaki Myanmmar didakwa bunuh tauke buah naga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YAN mai (baju putih, rambut perang) dan Maung Piaw (baju hitam) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh tauke buah naga di Tanah Merah Site A, di sini bulan lalu. FOTO : MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

PORT DICKSON – Dua pekerja buruh warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh tauke buah naga di Tanah Merah Site A, di sini bulan lalu.

Tertuduh, Yan Mai, 19, dan Maung Piaw, 20, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret V.Vanita. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan mereka tidak dibenarkan diikat jamin.

Mereka berdua didakwa membunuh mangsa, Low Seng Poh, 44, di kebun buah naga Tanah Merah Site A, Port Dickson pada pukul 12.15 tengah malam hingga 2 pagi, 18 Februari lalu.

Sehubungan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh dan kes akan disebut semula pada 3 Mei depan.

Terdahulu, mereka dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berada di Malaysia tanpa pas masuk yang sah di hadapan Majistret yang sama.

Tiga lagi lelaki warga Myanmar iaitu Some Meingtun, 42, Salai Tin Shwe dan Fun Shwe turut didakwa atas pertuduhan sama.

Some Meingtun dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah manakala Salai Tin Shwe dan Fun Shwe pula akan didakwa semula 31 Mac ini selepas mereka meminta pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Myanmar.

Sebelum ini, akhbar melaporkan lima lelaki warga Myanmar ditahan susulan kes pembunuhan seorang pemilik kebun buah naga yang ditemui dengan kaki dan tangan berikat di Tanah Merah, 18 Februari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI