PETALING JAYA – Pelakon, Yana Samsudin yang dimasukkan ke hospital semalam selepas mengalami demam, sakit kepala dan muntah disahkan mendapat serangan Influenza.
Suaminya, Fadzil Zahari berkata buat masa ini Yana tidak boleh menerima pelawat kerana perlu dikuarantin bagi mengelakkan jangkitan virus.
“Sejak Isnin dia mengadu tidak sedap badan tetapi tetap datang ke pejabat bagi menguruskan tugasan selepas lebih tiga minggu kami mengikuti jelajah promosi.
“Jadi saya fikir dia kepenatan hinggalah kelmarin dia mula muntah, sakit kepala yang kemudian disusuli suhu badan naik mendadak.
“Awalnya Yana cuma ambil paracetamol dan enggan ke hospital sampai perlu dipujuk disebabkan dia rasa itu cuma demam biasa.
“Selepas ujian darah, doktor sahkan dia dijangkiti Influenza yang memerlukannya dikuarantin untuk beberapa hari,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah Fadzil, selepas diberikan rawatan keadaan isterinya itu semakin menunjukkan perkembangan positif.
“Alhamdulillah, tahap kesihatannya semakin meningkat cuma belum punya selera makan. Minta doakan Yana segera sembuh.
“Saya pun tak dapat menemaninya kerana kondisinya ketika ini, malah saya serta anak-anak kami diminta menjalani ujian darah untuk mengesan sama ada kami bebas daripada virus tersebut,” katanya.
Bagi pihak isteri, bapa kepada dua cahaya mata itu turut meminta maaf atas kesulitan yang berlaku.
Menurutnya, Yana terpaksa membatalkan atau menunda beberapa komitmen yang sudah dipersetujui sebelum ini.
“Sebenarnya kami dijadualkan ke Johor Bahru untuk sebuah pesta jualan bersama pasukan Ifa Raziah, tetapi berlaku pula kekangan ini.
“Kami meminta maaf atas situasi yang tidak dapat dielakkan dan berharap semuanya dilancar serta dipermudahkan,” katanya lagi.
Yana, 38, berkahwin dengan Fadzil pada 13 Februari 2015 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Aisy Mateen, 6, serta Aura Aisy Sofea, setahun lapan bulan. – KOSMO! ONLINE