fbpx

Anak kerap haus rupanya ada ketumbuhan otak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Syahmi yang kini terlantar menerima kunjungan sempena Program Gerak Rahmah Jom Sihat Peringkat Kebangsaan di KRT Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, di sini baru-baru ini.

TAMPIN – Kebimbangan seorang ibu mengenai tabiat anaknya yang kerap haus sejak tahun lalu rupa-rupanya menjadi petanda remaja itu menghidap ketumbuhan otak.

Marzilah Mahat, 46, berkata, anak bongsunya, Muhammad Syahmi Samsulbahrey Bahtiyar, 15, juga lebih gemar meminum air suam dan tidak begitu selera untuk makan.

Katanya, masalah mula berlaku pada hujung tahun lalu apabila anaknya itu tiba-tiba menggeletar sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah bagi rawatan lanjut.

“Sebaik mendapatkan rawatan dan menjalani pemeriksaan CT Scan di hospital, anak di­sahkan menghidap ketumbuhan otak. Ketumbuhannya sudah se­besar 5 sentimeter.

“Disebabkan ketumbuhan itu juga, air sudah berlebihan di otak anak. Jadi satu tebukan perlu dilakukan di kepala bagi memasang tiub mengeluarkan air berkenaan,” katanya ketika ditemui sempena Program Gerak Rahmah Jom Sihat Peringkat Kebangsaan di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah di sini baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan, Choo Ken Hwa.

Pada program berkenaan, Ken Hwa menyampaikan bantuan berupa Bakul Rahmah serta susu khas kepada Marzilah.

Ujar Marzilah lagi, anaknya memerlukan sekurang-kurang­nya satu tin susu khas bersaiz kecil dengan harga RM30 setiap hari memandangkan dia masih belum boleh menjamah makanan.

“Selain itu, anak juga pakai lampin pakai buang dan kami memerlukan sekurang-kurang RM1,000 sebulan bagi memenuhi keperluan tersebut,” katanya.

Orang ramai yang membantu boleh menyalurkannya ke akaun BSN 0540041000104718 atas nama Marzilah Mahat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI