fbpx

Mahkamah: ‘Ampuni aku, janji tidak buat lagi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
29 warga Indonesia ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

PETALING JAYA – “Ampuni aku (saya) tuan (majistret), janji tidak buat lagi.”

Itu kata salah seorang tertuduh wanita warga Indonesia ketika merayu agar dihukum ringan atas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu.

Dalam prosiding hari ini, seramai 27 warga Indonesia dipenjara tiga bulan, manakala dua lagi didenda oleh tiga Mahkamah Majistret berasingan hari ini, atas pertuduhan melakukan kesalahan itu.

Kesemua 29 tertuduh berusia antara 21 hingga 70 tahun dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa, Zhafran Rahim Hamzah dan Muhammad Iskandar Zainol.

Dalam prosiding hari ini, tertuduh yang dipenjara ialah Slamet Riyanti Kasirin,Sumianti lahadi, Beretia badulu, Riski Lasada, Nurlia Haeruddin, Anugerah Syaripuddin, Dawi Sadida, Husna Lino, Roslia Borak, Andi Nur Aishah Akbar, Putri Mawarni, Dedi Saputra Ismail, Paridah Parangai, Herianti M Arif dan Hadi Badrosa.

Selain itu ialah Karyawati Langka, Nurhaidah Iwan, Ita Lappa, Hernawati Cagga, Hitrana Ghafar, Nor Ahmad Ali, Enceng Sateng, Ratna Dewi Uti, Rohana Baso, Ainol Mardiah Amirudin Ani M Tahir dan Hadilah Kacok.

Sementara itu dua lagi tertuduh iaitu iaitu Suriati Abu Tahir dan Kasmira Pirman masing-masing didenda RM2,000 dan RM3,000.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa memiliki kad pengenalan palsu di di Taman Perindustrian Puchong, Seksyen 6 di sini pukul 10.30 pagi pada 27 Februari lalu.

Berikutan itu, pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Norfadilah Shaari dan Zulkarnain Ahmad.

Kelmarin Kosmo! melaporkan seramai 29 warga asing dicekup kerana memiliki kad pengenalan palsu menerusi satu operasi khas (Ops Pintas) yang dijalankan JPN di sekitar kawasan perindustrian Puchong, Selangor.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi pukul 6 pagi itu yang dijalankan oleh pegawai dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya telah berjaya menahan kesemua mereka.

Menurut beliau, pihaknya menerima aduan awam dan berdasarkan risikan yang dijalankan selama 10 hari mendapati ramai warga asing di kawasan berkenaan menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI