fbpx

Rider koma 6 bulan, isteri lega terima faedah SKSPS Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sivakumar (kiri) bersama warga Perkeso menziarahi Muhammad Hafizi yang koma akibat kemalangan di Hospital Sungai Buloh hari ini.

SUNGAI BULOH – Seorang pekerja perkhidmatan penghantar makanan, Muhammad Hafizi Idris, 34, yang koma sejak Ogos tahun lalu akibat kemalangan menerima faedah hilang upaya sementara berjumlah lebih RM7,000 menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, faedah kewangan itu harap dapat membantu keluarga mangsa menguruskan perbelanjaan diri dan rumah tangga.

“Muhammad Hafizi merupakan seorang ‘rider’ penghantar makanan dan mengalami kemalangan dengan sebuah kereta sewaktu dalam perjalanan menghantar pesanan makanan kepada pelanggan.

“Memandangkan dia adalah pencarum SKSPS, Perkeso akan menanggung kos rawatan perubatan dan peralatan pemulihan selain faedah kewangan RM7,000,” katanya ketika ditemui selepas mengunjungi Muhammad Hafizi di Hospital Sungai Buloh, hari ini.

Isteri Muhammad Hafizi, Norfarahin ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh hari ini.

Sementara itu, isteri Muhammad Hafizi, Norfarahin Jamsari, 25, mengakui agak terkesan dari segi pendapatan selepas suaminya koma dan sangat bersyukur menerima bantuan daripada Perkeso.

Norfarahin yang menetap di Tanjong Karang, Selangor kini mula bekerja sebagai jurujual dalam talian untuk menampung keperluan keluarga selain perlu mengulang-alik perjalanan ke Hospital Sungai Buloh untuk melawat suami.

“Saya sangat sedih apabila terima berita suami kemalangan daripada kawan ‘rider’. Keadaan dia ketika ini juga tidak menentu ditambah dengan kecederaan parah di kepala serta patah tangan kiri dan patah peha kiri.

“Ketika ini, saya agak berat dari segi pendapatan, namun alhamdulillah, faedah daripada Perkeso ini sangat-sangat membantu dari segi perbelanjaan diri sendiri dan komitmen seperti bayaran bulanan kereta dan motosikal,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Sivakumar turut memberi pesanan kepada golongan orang bekerja sendiri supaya mengambil tindakan pencegahan dengan berhati-hati di jalan raya selain memastikan mempunyai SKSPS.

“Bak kata pepatah, malang tidak berbau. Seperti yang dimaklumkan, seramai 1,505 rider di bawah SKSPS telah terlibat dalam kemalangan dan 32 daripada maut sepanjang tahun 2022.

“Selain itu, berdasarkan data, hanya 374,906 atau 33.5 peratus pekerja telah mendaftar dan mencarum SKSPS daripada jumlah pekerja gig seluruh negara iaitu 1.12 juta,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru semua individu yang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri mengambil iktibar dan mencontohi Muhammad Hafizi yang melindungi diri dan keluarga dengan mencarum SKSPS. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI